Polis Haiti kata 34 anggota geng maut dalam operasi di Martissant

Polis Nasional Haiti (PNH) berkata pada Khamis, 34 anggota geng bersenjata maut semasa satu operasi keselamatan di Martissant, di selatan ibu kota Port-au-Prince, menurut berita Anadolu.

Polis berkata di X, operasi itu menyasarkan sebuah tempat persembunyian milik Renel Destina, yang dikenali sebagai ‘Ti Lapli’, ketua geng Grand Ravine yang beroperasi di kawasan itu.

Rakaman disertakan bersama pengumuman itu menunjukkan kenderaan berperisai bergerak melalui kawasan kejiranan itu, sebelum satu letupan melanda sebuah bangunan dipercayai digunakan oleh kumpulan terbabit.

PNH tidak memberikan perincian lanjut mengenai identiti mereka yang maut, mahupun menyatakan sama ada ketua geng terbabit termasuk dalam kalangan mereka yang maut.

Menurut Anadolu, Haiti24 melaporkan pada Khamis bahawa pasukan keselamatan telah memusnahkan sebuah bangunan di Martissant yang didakwa menjadi tempat perlindungan bagi anggota geng Ti Lapli.

Bangunan itu disasarkan semasa operasi polis yang bertujuan melumpuhkan kemudahan digunakan oleh kumpulan-kumpulan bersenjata.

Martissant adalah kawasan transit penting menghubungkan Port-au-Prince dengan bahagian selatan Haiti dan kawasan ini sering terjejas akibat keganasan geng serta perebutan kawalan wilayah oleh kumpulan-kumpulan bersenjata.

Grand Ravine adalah satu daripada beberapa kumpulan bersenjata yang beroperasi di kawasan metropolitan Port-au-Prince. Ti Lapli dikenal pasti sebagai seorang daripada ketua geng yang berpengaruh di ibu kota itu.

Haiti kini bergelut dengan peningkatan keganasan geng, di mana kumpulan-kumpulan bersenjata menguasai sebahagian besar ibu kota itu serta melakukan penculikan, pembunuhan dan serangan terhadap infrastruktur awam, menurut berita Anadolu.