Misi Tetap Republik Islam Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan bahawa Tehran tidak akan sekali-kali melupakan peristiwa pembunuhan 168 pelajar dan guru dalam satu serangan peluru berpandu ke atas sebuah sekolah di bandar Minab, selatan Iran, menyeru agar penderitaan mangsa diberikan perhatian dan memori mengenai mereka terus dipelihara, lapor berita IRNA.
Dalam satu kenyataan sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia pada Jumaat, misi itu menekankan bahawa setiap kanak-kanak mempunyai hak asasi, termasuk hak untuk mendapat perlindungan, pendidikan dan yang paling utama, hak untuk hidup serta masa depan yang penuh dengan harapan.
Ia mengatakan, kira-kira 300 pelajar yang terselamat daripada serangan terbabit masih mengalami trauma psikologi teruk serta memerlukan rawatan perubatan dan sokongan jangka panjang.
Peluru berpandu AS melanda Sekolah Shajareh Tayyebeh di Minab pada 28 Februari, hari pertama perang pencerobohan AS-Israel terhadap Iran, menurut IRNA, serangan itu membunuh 168 pelajar dan kakitangan sekolah.
Secara berasingan, duta Iran ke Jerman, Majid Nili Ahmadabadi, menyifatkan kanak-kanak terbabit mangsa dua “bom kotor” iaitu senjata yang digunakan dalam serangan terbabit dan sikap berdiam diri pihak-pihak yang mendakwa mempertahankan hak asasi manusia, lapor IRNA.
Merujuk kepada laporan oleh pertubuhan Save the Children yang menganggarkan 589 juta kanak-kanak hidup di zon konflik pada 2025, dia menyifatkan angka itu sebagai satu amaran yang membimbangkan bagi umat manusia dan menegaskan bahawa pihak bertanggungjawab atas tragedi di Minab itu mesti dihadapkan ke muka pengadilan.

