Kumpulan Houthi Yaman pada Selasa berkata bahawa serangan udara Arab Saudi mengorbankan sembilan tahanan di sebuah penjara di bawah kawalan mereka di wilayah utara Al-Jawf, menurut berita Xinhua.
Kumpulan itu memaklumkan bahawa serangan terbabit berlaku pada malam Isnin dan semua tahanan itu telah ditangkap dalam pertempuran baru-baru ini.
Abdul Qader al-Murtada, ketua jawatankuasa hal ehwal tahanan Houthi, berkata di X bahawa “rejim Saudi yang zalim” itu telah menyasarkan sebuah penjara di Al-Hazm, ibu kota wilayah berkenaan, lapor Xinhua.
Menurut Xinhua, terdahulu pada Selasa, saluran TV Al-Masirah dikendalikan oleh Houthi melaporkan pesawat perang Arab Saudi telah melancarkan tiga serangan udara ke atas sebuah rumah di bandar pelabuhan Mocha di Laut Merah, wilayah Taiz di barat daya Yaman, mengorbankan enam orang, termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita, serta mencederakan lapan yang lain.
