Empat orang terkorban manakala 35 yang lain cedera dalam satu kebakaran di stesen janakuasa terma al-Hartha di wilayah Basra, selatan Iraq pada Sabtu, lapor berita Xinhua memetik penilaian awal oleh Sel Media Keselamatan yang bernaung di bawah Perintah Operasi Bersama Iraq.
Kebanyakan mangsa yang cedera dilaporkan penghuni kawasan perumahan tidak rasmi, dengan pelbagai tahap kecederaan akibat terbakar serta terhidu asap.
Kebakaran itu tercetus susulan letupan pada satu daripada saluran paip gas yang membekalkan tenaga ke stesen berkenaan dan api kemudian merebak ke karavan serta kediaman berdekatan, menurut kenyataan berasingan direktorat pertahanan awam, seperti dilaporkan Xinhua.

