Hampir tiga daripada empat isi rumah di Greece tidak mempunyai anak pada 2025, menurut angka Eurostat yang dilaporkan pada Jumaat oleh akhbar harian Greece, Kathimerini, lapor berita Anadolu.
Daripada 4.06 juta isi rumah di Greece, 2.99 juta atau 73.8% tidak mempunyai anak, manakala kira-kira 1.06 juta atau 26.2% mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak.
Namun, peratusan isi rumah yang mempunyai anak di Greece adalah lebih tinggi berbanding purata Kesatuan Eropah (EU) iaitu 23.3%. Di seluruh blok terbabit, peratusan itu menurun daripada 26.9% pada tahun 2010 kepada 25% pada tahun 2020, dan seterusnya kepada 23.3% pada tahun 2025.
Dalam kalangan isi rumah di Greece yang mempunyai anak, 495,000 isi rumah mempunyai seorang anak, 418,000 mempunyai dua orang anak, dan 149,000 mempunyai tiga orang anak atau lebih. Isi rumah dengan seorang anak merangkumi hampir 47% daripada jumlah keseluruhan, manakala isi rumah dengan tiga orang anak atau lebih membentuk kira-kira 14%.
Di seluruh EU, isi rumah yang terdiri daripada seorang dewasa tanpa anak merangkumi 37.5% daripada semua isi rumah pada tahun 2025, meningkat daripada 33.6% pada tahun 2015. Dalam tempoh yang sama, peratusan isi rumah yang terdiri daripada pasangan yang tinggal bersama anak-anak menurun daripada 16.6% kepada 14.7%.

