Seorang dilaporkan maut dalam letupan gas di Altai Krai, barat daya Rusia pada pagi Selasa.
Menurut berita Xinhua, letupan itu berlaku di sebuah bangunan kediaman lima tingkat di kampung Kulunda. Cawangan serantau Kementerian Situasi Kecemasan Rusia menyatakan sebahagian daripada tingkat empat dan lima di bahagian pintu masuk kedua bangunan itu runtuh dan kebakaran turut tercetus.
“Anggota bomba dan penyelamat telah memindahkan lima orang dari bangunan terbabit, manakala lapan orang lagi keluar sendiri,” menurut jabatan itu.
Menurut Xinhua, agensi berita TASS, memetik sumber daripada perkhidmatan kecemasan, melaporkan 14 orang cedera dan seorang lagi mungkin masih terperangkap di bawah runtuhan. Jawatankuasa Siasatan wilayah mengesahkan seorang individu meninggal dunia.
