5 ‘pemberontak’ maut dalam pengeboman di barat daya Colombia

Presiden Colombia, Abelardo de la Espriella, pada Ahad mengesahkan satu pengeboman baharu di perbandaran Dagua, di jabatan Valle del Cauca di barat daya negara itu, yang mengakibatkan lima pemberontak Tentera Pembebasan Nasional (ELN) maut, menurut berita Xinhua.

“Dalam operasi ini, lima anggota struktur jenayah diketuai oleh individu dengan nama samaran ‘Bertha’ maut, seorang ketua (menjadi buruan) yang ganjaran ditawarkan sehingga 787 juta peso (kira-kira 225,000 dolar AS),” katanya, sambil menambah bahawa sejumlah besar peluru dan senjata turut dirampas.

Presiden berkata, struktur ELN dipersalahkan atas 68 pembunuhan bersasar, 72 kes pengambilan kanak-kanak bawah umur, 55 pemerasan, 18 pemindahan paksa dan 10 serangan di barat daya Colombia.

“Arahan saya jelas: teruskan serangan, rampas semula kawalan wilayah dan hapuskan struktur pengganas narkotik yang mengancam petani, peniaga dan pengusaha pengangkutan kita,” katanya.