Tanah runtuh di empat provinsi di Indonesia, 1 maut

Tanah runtuh yang disebabkan oleh hujan lebat melanda beberapa kawasan di Sumatra Utara, Jawa Barat, Jakarta dan Jawa Tengah, mengakibatkan seorang maut, lapor berita Antara memetik Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB).

Menurut Antara, Pelaksana Tugas, Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana BNPB, Berton Panjaitan, berkata di Jakarta pada Isnin bahawa mangsa maut adalah penduduk Kampung Gulagamang, RT 2 RW 3, Desa Mandalahurip, Kecamatan Jatiwaras, Kabupaten Tasikmalaya, Jawa Barat.

“Terdapat dua mangsa. Seorang ditemui selamat, namun seorang baru sahaja kami menerima laporan beberapa minit lalu ditemui meninggal dunia,” katanya.

Dia mengucapkan takziah atas kematian seorang wanita berusia 75 tahun itu. Tanah runtuh itu turut mengakibatkan sebuah rumah rosak teruk dan sebuah lagi mengalami kerosakan kecil.

Tanah runtuh di Provonsi Jawa Barat juga dilaporkan melanda tiga kecamatan di Kabupaten Purwakarta akibat hujan lebat, yang diburukkan lagi oleh saliran yang teruk dan rupa bumi curam. Ini menjejaskan tiga keluarga atau sembilan orang, tiga rumah, dan satu kemudahan awam.

Di Jakarta, menurut Antara, tanah runtuh berlaku di Jakarta Selatan, menjejaskan 60 keluarga atau 200 orang, lima orang cedera ringan dan 60 rumah, manakala di Jawa Tengah, tebing setinggi 12 meter di Kabupaten Purbalingga runtuh dan menimpa kawasan perumahan, menjejaskan satu keluarga atau empat orang.

Di Sumatra Utara, tanah runtuh berlaku di tujuh lokasi di lima kecamatan di Kabupaten Padang Lawas Utara, memutuskan tiga jalan penghubung, lapor Antara.