Serangan dron Israel mengorbankan lima rakyat Palestin di bandar Gaza dan utara Gaza pada Isnin, sementara pihak berkuasa kesihatan secara berasingan melaporkan kematian seorang kanak-kanak akibat keracunan plumbum akut, lapor berita Anadolu.
Dalam serangan terbaharu itu, sebuah dron Israel membunuh Ayman Ziad Salha, 26, dan mencederakan tiga yang lain, seorang daripadanya parah, di utara bandar Gaza, menurut Anadolu memetik sumber perubatan di Hospital Al-Shifa.
Tiga rakyat Palestin maut dan enam yang lain cedera apabila sebuah dron Israel menyerang sebuah kenderaan dekat persimpangan Ansar di barat bandar Gaza, menurut Anadolu memetik sumber perubatan.
Satu serangan dron Israel mengorbankan Adel al-Hilu dan mencederakan beberapa yang lain selepas menyasarkan perkumpulan orang awam di kawasan Al-Tawba, kem pelarian Jabalia di utara Gaza, lapor Anadolu memetik sumber perubatan yang memberitahunya.
Adel adalah seorang kakitangan veteran Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), menurut berita RT memetik laporan Reuters, memetik agensi terbabit dan petugas perubatan tempatan.
Menurut berita RT, Adel Al-Helo (dieja al-Helo dalam laporan RT, manakala Anadolu mengejanya al-Hilu), maut dekat sebuah perigi air di kem pelarian Jabalia di utara Gaza.
Jenazahnya dibalut dengan kain kafan putih, sementara vest biru UNRWA miliknya yang berlumuran darah masih kelihatan, ketika ahli keluarga berkumpul untuk meratapi pemergiannya di luar rumah mayat hospital, lapor RT.
Saudaranya, Nizar, menuduh tentera Israel gagal membezakan antara orang awam dan kakitangan PBB, lapor RT, dia berkata Adel berkhidmat dengan UNRWA selama 35 tahun dan sedang mengendalikan perigi terbabit untuk menyediakan bekalan air kepada penduduk Jabalia apabila dia terbunuh.
Tembakan tentera Israel juga mencederakan dua rakyat Palestin dalam insiden berasingan di kawasan Al-Sudaniya dan pekan Beit Lahia di bahagian utara, lapor Anadolu memetik sumber perubatan.
Di timur bandar Gaza, tentera Israel meletupkan rumah-rumah penduduk Palestin dan bangunan lain di kawasan kejiranan Tuffah, menurut koresponden Anadolu.
Menurut Anadolu, satu lagi sumber perubatan di Hospital Nasser berkata, seorang rakyat Palestin tiba dengan kecederaan tembakan tahap sederhana pada kaki, selepas tentera Israel melepaskan tembakan di kawasan Asdaa, barat laut Khan Younis di selatan Gaza.
Secara berasingan, kementerian kesihatan Gaza berkata seorang kanak-kanak meninggal dunia akibat keracunan plumbum akut.
Menurut kementerian itu, lapor Anadolu, susulan klinikal dan diagnostik, siasatan epidemiologi, serta sejarah perubatan kanak-kanak terbabit menunjukkan tanda jelas keracunan. Dikatakan, bapa kepada kanak-kanak itu menjalankan kerja membaiki bateri di kawasan penempatan pelarian dan khemah-khemah.
Kementerian itu memberi amaran bahawa kes ini mungkin menunjukkan ramai kanak-kanak mengalami keracunan plumbum kronik yang tidak didiagnosis, di tengah-tengah kekurangan peralatan makmal dan ujian yang diperlukan untuk mengukur tahap plumbum dalam darah.
Ia menggesa masyarakat antarabangsa dan PBB supaya mendesak Israel agar membenarkan kemasukan bateri gantian yang selamat serta menyeru pertubuhan kesihatan antarabangsa untuk membantu membawa masuk peralatan dan bekalan bagi menjalankan ujian tahap plumbum dalam darah secara terus di lokasi rawatan.
