3 maut dalam kebakaran rumah di barat Poland

Tiga termasuk seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, maut dalam satu kebakaran rumah di pekan Trzcianka, barat Poland, pada awal pagi Ahad, menurut berita Xinhua memetik laporan Agensi Akhbar Poland (PAP), memetik perkhidmatan bomba tempatan.

Dua lagi mangsa ialah seorang wanita berusia 59 tahun dan seorang lelaki 63 tahun, kata jurucakap bomba tempatan, Grzegorz Michalak, kepada PAP.

Anggota bomba menerima panggilan kecemasan selepas jam 1 pagi waktu tempatan dan mendapati rumah terbabit sedang marak dijilat api sebaik sahaja mereka tiba. Asap tebal dan bahang panas melampau pada mulanya menghalang mereka daripada memasuki rumah itu untuk menyelamatkan penghuninya, kata Michalak. Operasi memadam kebakaran itu berlangsung selama kira-kira empat setengah jam.