Lebih 22,000 kanak-kanak Palestin maut dalam genosid oleh Israel di Gaza

Lebih 22,000 kanak-kanak Palestin maut dan lebih 45,000 lagi cedera di Jalur Gaza sejak Israel melancarkan perang yang bersifat genosid pada Oktober 2023, menurut Kementerian Luar Negeri Palestin pada Khamis, lapor berita Anadolu.

Kementerian itu menggesa tindakan antarabangsa segera bagi melindungi kanak-kanak Palestin dan memastikan pihak yang bertanggungjawab atas pencabulan terhadap mereka diheret ke muka pengadilan.

Kenyataan ini dikeluarkan menjelang Hari Kanak-Kanak Sedunia, yang disambut setiap tahun pada 20 November.

“Melindungi kanak-kanak Palestin merupakan kewajipan undang-undang antarabangsa yang tidak boleh ditangguhkan; menghentikan jenayah Israel terhadap mereka serta memastikan pelakunya dipertanggungjawabkan adalah tanggungjawab kolektif antarabangsa,” tegas kementerian itu.

“Lebih daripada 11,000 kanak-kanak yang cedera mengalami kecederaan parah yang mengakibatkan hilang upaya, kecacatan fizikal dan kesan kesihatan jangka panjang,” katanya.

Kementerian itu menambah bahawa lebih 71,000 kanak-kanak telah menjadi anak yatim selepas kehilangan seorang atau kedua-dua ibu bapa mereka, manakala kira-kira 800,000 kanak-kanak masih hidup dalam keadaan kehilangan tempat tinggal—kebanyakannya tanpa tempat perlindungan selamat, kestabilan atau keperluan asas.

“Signifikan angka-angka ini melangkaui sekadar skala kehilangan nyawa manusia; ia turut menjejaskan daya tahan masyarakat Palestin serta masa depan generasi akan datang,” katanya.

Di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur, operasi ketenteraan Israel dan serangan oleh peneroka haram telah mengorbankan lebih 263 kanak-kanak dan mencederakan lebih 2,186 yang lain dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, sementara lebih 350 kanak-kanak telah ditahan, menurut kementerian itu.

Puluhan kanak-kanak masih ditahan di penjara Israel di bawah perintah tahanan pentadbiran tanpa sebarang pertuduhan atau perbicaraan, tambahnya.

“Pembunuhan, kecederaan, penahanan sewenang-wenangnya dan pemindahan paksa terhadap kanak-kanak semakin memuncak, seiring dengan serangan yang dilakukan oleh tentera Israel dan pihak penjajah,” kata kementerian itu.