Houthi dakwa serangan peluru berpandu ke atas lapangan terbang Abha, Arab Saudi

Kumpulan Houthi Yaman pada Selasa berkata mereka melancarkan serangan baharu peluru berpandu balistik ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Abha di wilayah Asir, barat daya Arab Saudi, sambil mendakwa serangan itu mengganggu lalu lintas udara, menurut berita Xinhua.

Menurut laporan itu, jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea, dalam satu kenyataan di X, mendakwa peluru berpandu itu melanda lapangan terbang terbabit secara tepat dan langsung.

Tiada pengesahan segera daripada pihak berkuasa Arab Saudi mengenai serangan itu, menurut Xinhua.

Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi memaklumkan pada Selasa bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdullah bin Abdulaziz di wilayah Jazan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Najran telah disasarkan dalam serangan berasingan pada petang Isnin, menyebabkan tiga orang mengalami kecederaan ringan, lapor Xinhua.

Menurut Xinhua, Sarea dalam kenyataan berasingan pada Selasa berkata, pasukan Houthi telah melancarkan beberapa peluru berpandu balistik ke arah tumpuan tentera Arab Saudi di kem tentera Al-Daghareer di Jazan, dekat sempadan Yaman, mendakwa peluru berpandu itu menghentam sasaran.