Dua maut dalam kejadian tembakan di pesta kejiranan di AS

Dua orang maut dan 35 lagi cedera dalam satu kejadian tembakan di pesta kejiranan di negeri Georgia, Amerika Syarikat (AS), pada awal pagi Ahad, lapor Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan.

Kejadian tembakan itu berlaku sekitar jam 1:25 pagi (0525 GMT) di bandar Vienna, selatan Georgia, Biro Penyiasatan Negeri berkata dalam satu kenyataan, menurut Xinhua.

Dua lelaki, masing-masing berusia 21 dan 23 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, kata Syerif Daerah Craig Peavy, sambil menambah bahawa mereka yang cedera telah dikejarkan ke hospital di kawasan sekitar.

Lebih 1,000 orang telah berkumpul untuk pesta itu apabila sekurang-kurangnya 50 das tembakan dilepaskan, kata Peavy, sambil menyatakan kebanyakan mangsa cedera akibat tembakan, manakala yang lain pula dilanggar kenderaan ketika orang ramai cuba melarikan diri dari lokasi kejadian.

Pihak berkuasa masih belum mengenal pasti mana-mana suspek atau menentukan motif tembakan itu.