11 dilapor maut dalam serangan udara Arab Saudi

Serangan udara Arab Saudi membunuh 11 orang di Yaman sepanjang 24 jam lalu, media kendalian Houthi melaporkan pada Khamis, manakala gabungan pimpinan Arab Saudi di Yaman melaporkan pemintasan peluru berpandu dilancarkan Houthi — menurut berita Xinhua.

Memetik pihak berkuasa kesihatan Houthi, saluran televisyen al-Masirah dikendalikan kumpulan itu berkata, 11 orang terkorban dan 36 yang lain cedera dalam serangan udara di wilayah Taiz, Hodeidah, Saada, Hajjah dan Ibb di Yaman.

Pesawat perang Arab Saudi turut melancarkan berbilang serangan udara di ibu kota Yaman, Sanaa, lapor Xinhua memetik TV al-Masirah, tiada laporan segera mengenai jumlah korban.

Menurut Xinhua, penduduk memberitahunya, letupan kuat menggegarkan beberapa kawasan kejiranan pada Khamis, diiringi bunyi deruman pesawat perang di atas kepala.

“Serangan itu melanda bahagian-bahagian berbeza di bandar, dengan letupan berulang kali menggegarkan rumah kami,” kata seorang penduduk. “Kami terlalu takut untuk pergi keluar.”

Sementara itu, gabungan pimpinan Arab Saudi di Yaman berkata pada Khamis bahawa mereka telah memintas dan memusnahkan empat peluru berpandu balistik dilancarkan oleh kumpulan Houthi Yaman ke arah selatan Arab Saudi 1 lapor Xinhua.