Perang AS terhadap Iran telan kos $48.3 bilion

Kempen ketenteraan AS terhadap Iran telah menelan belanja kira-kira $48.3 bilion sejak konflik bermula pada akhir Februari, menurut seorang pegawai Pentagon yang memaklumkan perkara itu kepada penggubal undang-undang pada Khamis, lapor berita Anadolu.

Arthur Miller, yang dicalonkan untuk memegang jawatan Penolong Setiausaha Tentera Laut bagi pengurusan kewangan dan pengawal kewangan (comptroller), mendedahkan angka itu semasa sesi pendengaran pencalonannya di hadapan Jawatankuasa Perkhidmatan Angkatan Tentera Senat.

“Angka itu termasuk peluru, kos penggantian peralatan dan kos operasi,” kata Miller kepada penggubal undang-undang.

Anggaran itu tidak termasuk kos pembaikan kemudahan ketenteraan AS di Timur Tengah yang rosak akibat serangan Iran.

Menjawab soalan daripada Senator Richard Blumenthal, Miller mengakui perbelanjaan tambahan itu tidak dimasukkan dalam anggaran berkenaan dan menyatakan bahawa dia tidak mempunyai angka khusus bagi kos pembaikan berkenaan.

Peperangan itu bermula dengan serangan AS dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari lalu, sebelum kedua-dua pihak mencapai persetujuan gencatan senjata pada April.

Pertempuran antara AS dan Iran kemudiannya tercetus semula apabila rundingan menemui jalan buntu, walaupun kedua-dua pihak telah menandatangani memorandum persefahaman pada Jun.