Satu serangan udara Israel dekat sebuah perigi air di kawasan Jabalia, Gaza, yang mengorbankan seorang kakitangan Agensi Kerja dan Bantuan PBB untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), menjadikan jumlah pekerja bantuan yang maut di Gaza sejak Oktober 2023 mencecah 600 orang, menurut agensi kemanusiaan PBB pada Selasa — berita Xinhua melaporkan.
Menurut Xinhua, Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata, seorang kakitangan UNRWA maut, manakala tiga yang lain cedera dalam satu serangan Israel dekat sebuah perigi air di Jabalia.
“Mereka sedang menjalankan tugas rutin di perigi terbabit, menyediakan perkhidmatan penting kepada masyarakat,” kata OCHA. “Dengan insiden semalam (Isnin), seramai 397 kakitangan UNRWA telah terkorban sejak Oktober 2023. Secara keseluruhan di Gaza, 600 pekerja bantuan telah terkorban dalam tempoh ini.”
Pejabat terbabit menegaskan semua orang awam, termasuk pekerja bantuan, serta kemudahan kemanusiaan dan infrastruktur awam, mesti dilindungi dan tidak boleh dijadikan sasaran ketenteraan atau diserang.
Ia turut menekankan bahawa kakitangan kemanusiaan mesti dilindungi dan dibenarkan untuk menjalankan kerja menyelamatkan nyawa dengan selamat.
