Serangan udara Israel bunuh 4 sekeluarga Palestin dalam pelanggaran terkini gencatan senjata di Gaza

Satu serangan udara Israel membunuh sekeluarga Palestin pada awal Rabu apabila ia menghentam kediaman mereka di kem pelarian al-Shati di barat bandar Gaza, menurut berita Anadolu memetik sumber tempatan.

Sumber itu berkata, sebuah helikopter Israel melepaskan sekurang-kurangnya satu peluru berpandu ke arah kediaman terbabit, mengorbankan pasangan suami isteri serta dua anak perempuan mereka, selain mencederakan beberapa ahli keluarga yang lain.

Menurut Anadolu, satu sumber perubatan di Hospital Al-Shifa memberitahunya, hospital telah menerima empat mayat terbabit dan merawat mereka yang cedera dalam serangan itu.

Sumber tempatan mengenal pasti mangsa yang maut sebagai Mohammed Majed Abu al-Ouf, 47, isterinya Noura, 41, serta anak perempuan mereka, Yusra, 15, dan Jana, 13.

Sementara itu, menurut Anadolu, di selatan Gaza, satu sumber perubatan di Hospital Nasser memaklumkan bahawa seorang kanak-kanak perempuan mengalami kecederaan sederhana selepas tentera Israel melepaskan tembakan ke arah khemah-khemah yang menempatkan rakyat Palestin terlantar di kawasan perumahan Hamad, di utara Khan Younis.

Insiden ini berlaku di tengah-tengah pelanggaran berterusan gencatan senjata oleh Israel, yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025.