Peti

  • 4 maut letupan periuk api dekat Garis Kawalan Kashmir

    Empat pemuda dilapor terbunuh pada Selasa apabila sebutir periuk api meletup dekat Garis Kawalan (LoC) di wilayah Kashmir ditadbir oleh Pakistan.

    Letupan itu berlaku dekat kampung Mahandlah dan Madarpur di daerah Poonch, lokasi mangsa pergi untuk membaiki saluran paip air di sebuah mata air, lapor berita Anadolu memetik Geo TV.

    Direktorat Am Perhubungan Awam (DGPR) di wilayah Kashmir ditadbir Pakistan berkata keempat-empat mereka sedang melakukan kerja rutin apabila periuk api itu meletup, membunuh mereka serta-merta.

    Mangsa dikenal pasti sebagai Faizan Sagheer, Ishtiaq, Asim Rafiq, dan Waqas Sharif.

    Menurut Anadolu, saluran penyiaran India, NDTV, mendakwa semua lelaki terbabit sedang cuba menceroboh masuk ke wilayah India.

    Insiden ini berlaku susulan kematian dua orang awam Pakistan dekat sempadan antarabangsa pada awal bulan ini.

  • China jatuhkan hukuman mati 3 ketua kumpulan jenayah berpangkalan di Myanmar

    Mahkamah China menjatuhkan hukuman mati terhadap tiga ahli utama kumpulan jenayah berpangkalan di Myanmar pada Selasa atas jenayah termasuk penipuan telekomunikasi dan perjudian, lapor berita Anadolu memetik media kerajaan.

    Mahkamah Rakyat Pertengahan di Quanzhou dan sebuah mahkamah di Nan’an, kedua-duanya di wilayah Fujian, timur China, menjatuhkan hukuman itu terhadap ahli rangkaian jenayah keluarga Wei, lapor Anadolu memetik Agensi Berita Xinhua milik kerajaan.

    Tiga lagi tertuduh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, manakala 55 orang lagi dikenakan hukuman penjara antara tiga tahun tiga bulan hingga 24 tahun.

    Mahkamah turut mengenakan hukuman tambahan, termasuk denda, perampasan harta benda, dan pengusiran.

    Menurut pihak berkuasa China, sindiket itu mengendalikan kawasan jenayah di wilayah Kokang, Myanmar, serta terbabit dalam penipuan telekomunikasi, perjudian, pemerasan, dan aktiviti haram lain.

    Keputusan mahkamah ini dibuat ketika Beijing mempergiatkan tindakan keras terhadap rangkaian penipuan rentas sempadan yang beroperasi di Myanmar.

    Pada Februari, China melaksanakan hukuman mati terhadap 15 ahli kumpulan jenayah berpangkalan di Myanmar yang disabitkan kesalahan termasuk pembunuhan, penipuan telekomunikasi, dan pengedaran dadah, lapor Anadolu.

    Menurut pihak berkuasa China, lapor Anadolu, lebih 7,600 warga China yang disyaki terbabit dalam penipuan telekomunikasi telah dibawa pulang dari Myanmar tahun lalu.

  • 8 cedera amuk tikaman di kompleks komersial Korea Selatan

    Lapan orang cedera pada Selasa selepas seorang suspek lelaki mengamuk dan melakukan serangan tikaman di dalam sebuah kompleks komersial yang menempatkan sebuah kedai diskaun di bandar pelabuhan Incheon, barat Korea Selatan, menurut berita Xinhua memetik agensi berita Yonhap.

    Satu panggilan kecemasan diterima sekitar jam 1:49 petang waktu tempatan bagi melaporkan kejadian tikaman itu.

    Suspek, yang dipercayai berusia dalam lingkungan 60-an, telah ditahan kerana didakwa menyerang dan melukakan pembeli serta pengunjung menggunakan senjata tajam.

    Suspek didakwa memegang senjata sambil bergerak menaiki eskalator dari tingkat bawah tanah kedua—tempat kedai diskaun itu terletak—menuju ke tingkat dua, sebelum berjaya ditumpaskan oleh pengunjung lain di lokasi kejadian.

    Menurut saksi, lelaki itu melakukan serangan dengan pisau yang diikat pada kedua-dua belah tangannya.

  • 5 maut, 30 cedera tren tergelincir di Punjab, Pakistan

    Sekurang-kurangnya lima penumpang maut dan 30 lagi cedera selepas semua 14 gerabak sebuah kereta api penumpang tergelincir di wilayah Punjab, timur Pakistan pada awal pagi Selasa, menurut pihak polis, lapor berita Xinhua.

    “Kemalangan itu berlaku di daerah Multan apabila kereta api Rehman Baba Express, yang dalam perjalanan dari bandar pelabuhan selatan Karachi ke bandar Peshawar di barat laut, terkeluar dari landasan,” kata sumber polis daerah itu kepada Xinhua.

  • 10 pelombong maut selepas bas mini jatuh sungai di Bolivia

    Sekurang-kurangnya 10 pelombong maut dan empat lagi parah pada Isnin selepas sebuah bas mini terjunam kira-kira 25 meter ke dasar sungai di jabatan barat La Paz, Bolivia, menurut berita Xinhua memetik seorang pegawai tempatan.

    Menurut Ricardo Terrazas, komander polis jabatan itu, kemalangan berlaku di daerah Tres Rios dalam kawasan perbandaran Irupana pada awal pagi ketika para pelombong dalam perjalanan ke tempat kerja di lombong 15 de Agosto di wilayah Yungas.

    Bas mini pengangkutan awam itu terjunam ke dasar sungai dan merempuh batu-batan, menurut laporan awal.

    Penduduk tempatan adalah pihak pertama yang tiba di lokasi kejadian dan mula menyelamatkan mangsa yang terselamat sebelum pihak polis sampai ke tempat kemalangan.

    Dilaporkan, empat mangsa yang terselamat dan mengalami kecederaan parah telah dibawa ke hospital di kawasan metropolitan La Paz untuk rawatan.

  • Tentera Yaman mengeluarkan kenyataan mengenai pencerobohan terkini Arab Saudi

    Jurucakap Angkatan Tentera Yaman mengumumkan jumlah keseluruhan tindakan pencerobohan Arab Saudi—yang merangkumi serangan udara dan serangan peluru berpandu—telah mencecah 2,177 sejak peningkatan baharu permusuhan, menurut berita Mehr disiarkan pada 12 Okt di webnya.

    Mehr menyatakan, menurut saluran televisyen tempatan Yaman, Al-Masirah TV, Yahya Saree, jurucakap Angkatan Tentera Yaman itu, menyatakan pada Isnin bahawa pihak penceroboh Arab Saudi telah melancarkan 119 serangan udara dan serangan peluru berpandu terhadap Yaman dalam 24 jam lalu.

    Jurucakap itu menambah bahawa serangan Arab Saudi itu menyasarkan kawasan awam di ibu negara (Sanaa) serta wilayah Al-Jawf, Taiz, Saada, Marib, Lahj, Al-Bayda, dan Ibb. Serangan oleh pihak penceroboh Arab Saudi ini telah mengakibatkan korban dalam kalangan orang awam, termasuk kematian dan kecederaan membabitkan wanita serta kanak-kanak.

    Yahya Saree turut memaklumkan bahawa serangan udara Arab Saudi itu dilakukan oleh jet pejuang F-15 dan Typhoon yang berlepas dari pangkalan udara Khamis Mushait dan Taif, manakala serangan peluru berpandu dilancarkan dari wilayah Najran dan Jizan. Jumlah keseluruhan serangan udara dan serangan peluru berpandu Arab Saudi ke atas negara mencecah 2,177 sejak konflik memuncak.

  • Letupan kuat gegar Sanaa, ibu negara Yaman dikuasai Houthi

    Satu siri serangan menggegarkan Sanaa, ibu negara Yaman dikuasai Houthi, lewat Isnin, dengan bunyi letupan kedengaran di seluruh bandar raya itu, menurut berita Xinhua memetik penduduk tempatan memberitahunya.

    Penduduk dihubungi melalui telefon berkatabeberapa letupan kuat kedengaran berturut-turut di seluruh Sanaa.

    Sasaran serangan tidak diketahui dengan jelas, dan tiada laporan segera mengenai korban jiwa atau kerosakan harta benda.

    Letupan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak di Yaman, di mana pertempuran baharu di beberapa barisan hadapan disertai dengan peningkatan serangan rentas sempadan antara kumpulan Houthi dan Arab Saudi.

    Gabungan pimpinan Arab Saudi berkata lewat Isnin bahawa pihaknya memintas dan memusnahkan dua peluru berpandu balistik dilancarkan oleh kumpulan Houthi ke arah Khamis Mushait, sebuah bandar di barat daya Arab Saudi.

    Terdahulu, kumpulan Houthi dilapor berkata mereka telah melancarkan serangan peluru berpandu balistik baharu ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, ibu negara Arab Saudi, manakala gabungan pimpinan Arab Saudi berkata pasukannya memintas dan memusnahkan peluru berpandu balistik Houthi disasarkan ke Riyadh.

  • Pengetua, guru ditembak di sekolah selatan Perancis

    Seorang pengetua dan seorang guru ditembak dan cedera di sebuah sekolah menengah rendah di Aubagne, selatan Perancis, pada Isnin, menurut berita Anadolu memetik pihak berkuasa.

    “Seorang murid disyaki bertanggungjawab,” kata Menteri Pendidikan Edouard Geffray dalam satu hantaran di X, menurut Anadolu.

    Dia menambah yang dia dalam perjalanan ke sekolah menengah rendah Lakanal bersama Menteri Dalam Negeri Laurent Nunez dan Sabrina Roubache, seorang ahli parlimen yang mewakili wilayah Bouches-du-Rhone.

    Pengetua berusia 53 tahun itu ditembak pada bahagian pinggul kanan, manakala seorang guru berusia 37 tahun cedera pada bahagian paha, lapor Anadolu memetik penyiar Perancis, BFMTV.

    Kecederaan mereka tidak mengancam nyawa, menurut sumber yang rapat dengan kes itu seperti dilapor oleh penyiar itu, menurut Anadolu.

    Seorang murid berusia 14 tahun di sekolah itu telah ditahan kerana disyaki melakukan tembakan terbabit, menurut Anadolu memetik BFMTV.

    Pejabat pendakwa raya Marseille telah memulakan siasatan berhubung cubaan membunuh, pendakwa raya Nicolas Bessone dilapor berkata dalam satu kenyataan.

    Bessone berkata, murid terbabit melepaskan sekali atau dua das tembakan di kawasan umum tingkat satu sejurus selepas jam 9 pagi (0700GMT), menyebabkan kecederaan kepada pengetua dan guru yang berada di koridor.

    Murid terbabit kemudian naik ke tingkat dua dan melepaskan tembakan dua lagi, kata pendakwa raya itu.

    Satu das tembakan dilepaskan ke arah lantai di hadapan seorang guru, manakala satu lagi dilepaskan di dalam bilik darjah yang sedang digunakan, kena papan hitam.

    Tiada murid yang cedera, kata Datuk Bandar Aubagne, Jean-Pierre Squillari.

    Kejadian tembakan itu tidak berkait dengan protes sekolah menengah yang sedang berlaku di Perancis, menurut Anadolu memetik laporan tempatan. Sekolah itu tidak terjejas oleh penutupan yang berlaku di tempat lain.

  • Presiden Microsoft kata mesin basuh, susu tertakluk kepada peraturan keselamatan lebih ketat berbanding AI

    Presiden Microsoft, Brad Smith, memberi amaran bahawa kecerdasan buatan (AI) tertakluk kepada peraturan keselamatan lebih longgar berbanding produk isi rumah harian, menggesa langkah perlindungan lebih kukuh, termasuk mekanisme penutupan kecemasan dan pelaporan insiden mandatori, menurut berita Anadolu.

    “Pada masa ini, mesin basuh anda tertakluk kepada lebih banyak peraturan keselamatan berbanding AI. Setiap karton susu yang anda lihat di kedai runcit tertakluk kepada peraturan keselamatan dan pemeriksaan,” Smith dilapor memberitahu podcast Big Boss Interview BBC yang disiarkan pada Ahad.

    Menyifatkan AI sebagai “alat dan senjata”, Smith berkata syarikat teknologi memerlukan mekanisme kecemasan, yang sering dipanggil sebagai “kill switch” (suis pemati), untuk menghentikan sementara atau memperlahankan sistem AI sekiranya ia terlepas daripada kawalan manusia.

    Dia juga menggesa penggubalan undang-undang yang mewajibkan syarikat melaporkan insiden membabitkan sistem AI yang bertindak secara berbahaya serta memaklumkan pihak terjejas.

    Smith mencadangkan penilaian bebas oleh kerajaan terhadap teknologi AI baharu bagi menilai potensi risiko.

    “Kita tahu bagaimana untuk melakukan ini untuk produk lain,” kata Smith. “Kita harus memanfaatkan pengetahuan itu dan memikirkan cara untuk mengaplikasikannya kepada AI.”

    Kenyataannya dibuat di tengah-tengah perdebatan mengenai sama ada pembangunan dan penggunaan AI termaju perlu diperlahankan sehingga langkah perlindungan lebih kukuh dilaksanakan.

    “Apabila anda lihat ejen AI yang terlepas daripada kawalan manusia, apabila anda lihat model yang begitu berkuasa yang mereka letak keselamatan siber dunia dalam risiko, saya katakan: Masanya telah tiba,” kata Smith.

  • Lebih 100 pendaki asing terkandas akibat banjir kilat di Manaslu, Nepal

    Lebih 100 pendaki asing terkandas di daerah pergunungan Gorkha, Nepal, selepas banjir kilat menghanyutkan jambatan dan merosakkan laluan pendakian pada hujung minggu, menurut berita Anadolu memetik saluran berita tempatan, Online Khabar pada Isnin yang memetik pihak berkuasa tempatan.

    Lima penduduk kampung, termasuk dua wanita, masih hilang selepas kejadian tanah runtuh di antara Lokpa dan Chumling menyekat aliran Sungai Budhi Gandaki, sekali gus mencetuskan banjir di kawasan hilir.

    Anadolu melaporkan, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal, banjir itu memusnahkan beberapa jambatan, merosakkan rumah, dua menara telekomunikasi dan 50 batang tiang elektrik.

    Manaslu Circuit, dekat sempadan Nepal dengan China, adalah laluan pendakian popular di Himalaya, dengan Oktober antara tempoh paling sibuk bagi aktiviti itu.