Peti

  • Dua juruterbang tentera maut nahas pesawat di barat daya Pakistan

    Pesawat latihan tentera Pakistan mengalami nahas di barat daya negara itu pada Isnin, mengorbankan dua juruterbang, lapor berita Anadolu memetik tentera.

    Pesawat latihan Mushshak terhempas dekat Quetta, ibu kota wilayah Balochistan di barat daya, akibat “masalah teknikal” semasa penerbangan latihan, kata tentera dalam satu kenyataan.

    Dilaporkan, pengajar juruterbang, Mejar Husnain Shehzad Humayun, dan juruterbang pelatih, Kapten Abdul Samad terkorban dalam nahas itu.

  • 3 ditemui mati selepas tembakan di sebuah rumah di California

    Tiga individu ditemui mati di dalam sebuah rumah susulan kejadian tembakan pada petang Ahad di Marin County, California, Amerika Syarikat, lapor berita Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan.

    Miguel Almaguer, jurucakap Pejabat Syerif Marin County, memberitahu pemberita bahawa pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan 911 sejurus selepas jam 5 petang (0000 GMT Isnin) yang melaporkan bunyi tembakan di sebuah kediaman di Strawberry, sebuah kawasan komuniti tidak diperbadankan di daerah berkenaan.

    Deputi syerif yang bertindak terhadap panggilan itu mewujudkan perimeter keselamatan di sekitar kediaman berkenaan sebelum memasuki rumah itu, di mana mereka menemui tiga individu maut, kata Almaguer.

  • Dua warga India hilang selepas kapal tangki dihentam dron di luar pantai Oman

    Serangan dron terhadap sebuah kapal tangki di luar pantai Oman menyebabkan dua warga India hilang manakala sembilan lagi diselamatkan, menurut seorang pegawai kanan India pada Ahad, lapor berita Anadolu.

    “Pada 11 Oktober, kapal tangki MT PETRO DOLPHIN, yang membawa 11 pelaut India, telah diserang oleh dron di kawasan labuh sauh Sohar. Walaupun sembilan daripada kru India kami berjaya diselamatkan dan berada dalam keadaan selamat, dua warga India masih lagi hilang,” tulis Menteri Perkapalan India, Sarbananda Sonowal, di X, menurut Anadolu.

    Sonowal berkata operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh pihak pengawal pantai tempatan.

  • Peranti elektrik penumpang terbakar ketika penerbangan domestik di India

    Satu insiden keselamatan serius berlaku pada Ahad apabila peranti elektronik peribadi seorang penumpang, dilaporkan ‘power bank’ tiba-tiba terbakar semasa penerbangan domestik dikendalikan oleh penerbangan swasta IndiGo, menurut berita Xinhua memetik media tempatan.

    Kebakaran itu dipadamkan dengan bantuan alat pemadam api, dan penerbangan dilencongkan ke lapangan terbang terdekat. ‘Power bank’ itu dikatakan disimpan di dalam beg yang diletakkan di ruang penyimpanan atas kepala.

    Video dimuat naik di media sosial menunjukkan api marak keluar daripada beg berkenaan dan penumpang menjerit “kebakaran, kebakaran” dalam keadaan panik.

    Penerbangan domestik 6E 6115 itu dalam perjalanan dari New Delhi ke bandar Chennai di selatan India, namun segera dilencongkan ke lapangan terbang Hyderabad sebagai langkah berjaga-jaga.

  • 5 rakyat Palestin dilapor maut akibat tembakan tentera Israel di Gaza

    Lima rakyat Palestin maut akibat tembakan tentera Israel di Jalur Gaza pada Ahad, termasuk seorang kanak-kanak yang meninggal dunia akibat kecederaan dialami pada Sabtu, menurut berita Xinhua memetik sumber Palestin.

    Menurut Xinhua, sumber tempatan memberitahunya bahawa sebuah dron Israel melancarkan sekurang-kurangnya satu peluru berpandu ke arah sebuah stesen pengecasan telefon bimbit di kawasan al-Buraq, barat Khan Younis di selatan Gaza pada petang Ahad, menyebabkan letupan kuat.

    Sumber perubatan memberitahu Xinhua bahawa pasukan perubatan telah mengeluarkan mayat empat rakyat Palestin yang terbunuh dalam serangan itu dan merawat beberapa mangsa lain yang cedera, termasuk mereka yang cedera parah. Mangsa-mangsa telah dibawa ke Kompleks Perubatan Nasser di bandar itu.

    Tentera Israel tidak mengeluarkan sebarang kenyataan segera mengenai serangan itu, menurut Xinhua.

    Sumber perubatan juga mengumumkan kematian Jihad al-Ghandour, kanak-kanak berusia tujuh tahun, yang meninggal dunia akibat kecederaan dialami pada Sabtu selepas ditembak oleh tentera Israel di kem pelarian Jabalia di utara Gaza, lapor Xinhua.

    Sejak gencatan senjata antara Hamas dan Israel berkuat kuasa pada Oktober 2025, serangan Israel telah mengorbankan 1,488 orang, menjadikan jumlah keseluruhan kematian sejak Oktober 2023 mencecah 74,377 orang, menurut Xinhua memetik pihak berkuasa kesihatan berpangkalan di Gaza pada Ahad.

  • Pihak berkuasa penerbangan awam Arab Saudi kata lapangan terbang Dammam diserang

    Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi berkata Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd, dekat Dammam di Wilayah Timur, telah diserang pada petang Ahad, dan kerja penilaian kerosakan serta pemeriksaan keselamatan terhadap kemudahan lapangan terbang sedang dijalankan, menurut berita Xinhua.

  • Rusia serang pusat data Ukraine, tawan 4 lagi penempatan

    Tentera Rusia melancarkan serangan dron semalaman ke atas kemudahan berkaitan ketenteraan dan kapal kargo Ukraine, serta menawan empat lagi penempatan di sepanjang barisan hadapan, kata Kementerian Pertahanan Rusia pada Ahad, menurut berita Xinhua.

    Dron Rusia telah melanda sebuah pusat data di bandar Odessa, selatan Ukraine, yang digunakan untuk memproses, menghantar dan menyimpan maklumat bagi tentera Ukraine, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

    Dron-dron itu juga melanda sebuah kapal kargo yang berlabuh di pelabuhan Chornomorsk di wilayah Odessa, yang sebelum ini telah menghantar bekalan kepada tentera Ukraine, kata kementerian itu.

    Pada petang Ahad, tentera Rusia menyerang sebuah pusat logistik di wilayah Mykolaiv, Ukraine, yang digunakan untuk menyimpan bekalan ketenteraan, serta sebuah kapal kargo yang sedang mengangkut bekalan ketenteraan ke Pelabuhan Chornomorsk, katanya.

    Kementerian itu juga berkata kumpulan tentera Utara dan Tengah Rusia masing-masing telah menawan dua penempatan, iaitu di wilayah Kharkiv dan Donetsk.

  • Serangan baharu ke atas lapangan terbang Riyadh menyebabkan kecederaan

    Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam (GACA) Arab Saudi pada Ahad berkata satu serangan baharu ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di ibu negara Riyadh menyebabkan kecederaan, lapor berita Xinhua.

    Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di X, GACA memaklumkan bahawa serangan itu mengakibatkan kecederaan, dan kerja penilaian kerosakan serta pemeriksaan keselamatan kemudahan lapangan terbang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan.

    Menurut Xinhua, terdahulu pada Ahad, pakatan diketuai oleh Arab Saudi berkata satu projektil telah melanda terminal penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid.

    Satu serangan menggunakan projektil yang tidak dikenal pasti telah mengenai Terminal 4 di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid, kata jurucakap pakatan itu, Turki Al-Malki, di X, menurut Xinhua.

    Sistem pertahanan udara telah memintas dan memusnahkan satu peluru berpandu dekat lapangan terbang itu, dan kebakaran akibat serangan itu ditangani di lokasi kejadian, katanya.

    Menurut Xinhua, korespondennya mengatakan, bunyi letupan kedengaran pada petang Ahad dekat lapangan terbang itu, dan kepulan asap turut kelihatan seketika.

    Serangan itu berlaku sehari selepas serangan yang menyasarkan lapangan terbang sama mengorbankan 12 orang dan mencederakan 309 yang lain, menurut GACA.

  • Banjir kilat hanyutkan kira-kira 40 rumah di tengah Nepal

    Dianggarkan antara 35 hingga 40 buah rumah dihanyutkan oleh banjir kilat di daerah Gorkha, tengah Nepal pada Ahad, menurut berita Anadolu.

    Banjir kilat di Sungai Budhi Gandaki pada awal pagi Ahad itu menyebabkan kerosakan meluas di kawasan perbandaran luar bandar Chumnubri dan Dharche; menghanyutkan rumah, jambatan, dan infrastruktur projek hidroelektrik, selain menenggelamkan kawasan penempatan dan meletakkan lebih banyak kediaman dalam risiko, lapor Anadolu memetik akhbar tempatan The Kathmandu Post.

  • 11 maut, 27 cedera dalam nahas bas pelancong di barat Türkiye

    Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan 27 lagi cedera pada had dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah bas pelancong dan sebuah trak tunda di wilayah Manisa, barat Türkiye, menurut berita Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan.

    Pejabat Gabenor Manisa berkata pelanggaran itu berlaku pada jam 11:11 pagi waktu tempatan (0811 GMT) dekat pintu masuk lebuh raya Akhisar.