Seorang pengetua dan seorang guru ditembak dan cedera di sebuah sekolah menengah rendah di Aubagne, selatan Perancis, pada Isnin, menurut berita Anadolu memetik pihak berkuasa.
“Seorang murid disyaki bertanggungjawab,” kata Menteri Pendidikan Edouard Geffray dalam satu hantaran di X, menurut Anadolu.
Dia menambah yang dia dalam perjalanan ke sekolah menengah rendah Lakanal bersama Menteri Dalam Negeri Laurent Nunez dan Sabrina Roubache, seorang ahli parlimen yang mewakili wilayah Bouches-du-Rhone.
Pengetua berusia 53 tahun itu ditembak pada bahagian pinggul kanan, manakala seorang guru berusia 37 tahun cedera pada bahagian paha, lapor Anadolu memetik penyiar Perancis, BFMTV.
Kecederaan mereka tidak mengancam nyawa, menurut sumber yang rapat dengan kes itu seperti dilapor oleh penyiar itu, menurut Anadolu.
Seorang murid berusia 14 tahun di sekolah itu telah ditahan kerana disyaki melakukan tembakan terbabit, menurut Anadolu memetik BFMTV.
Pejabat pendakwa raya Marseille telah memulakan siasatan berhubung cubaan membunuh, pendakwa raya Nicolas Bessone dilapor berkata dalam satu kenyataan.
Bessone berkata, murid terbabit melepaskan sekali atau dua das tembakan di kawasan umum tingkat satu sejurus selepas jam 9 pagi (0700GMT), menyebabkan kecederaan kepada pengetua dan guru yang berada di koridor.
Murid terbabit kemudian naik ke tingkat dua dan melepaskan tembakan dua lagi, kata pendakwa raya itu.
Satu das tembakan dilepaskan ke arah lantai di hadapan seorang guru, manakala satu lagi dilepaskan di dalam bilik darjah yang sedang digunakan, kena papan hitam.
Tiada murid yang cedera, kata Datuk Bandar Aubagne, Jean-Pierre Squillari.
Kejadian tembakan itu tidak berkait dengan protes sekolah menengah yang sedang berlaku di Perancis, menurut Anadolu memetik laporan tempatan. Sekolah itu tidak terjejas oleh penutupan yang berlaku di tempat lain.
