Presiden Microsoft, Brad Smith, memberi amaran bahawa kecerdasan buatan (AI) tertakluk kepada peraturan keselamatan lebih longgar berbanding produk isi rumah harian, menggesa langkah perlindungan lebih kukuh, termasuk mekanisme penutupan kecemasan dan pelaporan insiden mandatori, menurut berita Anadolu.
“Pada masa ini, mesin basuh anda tertakluk kepada lebih banyak peraturan keselamatan berbanding AI. Setiap karton susu yang anda lihat di kedai runcit tertakluk kepada peraturan keselamatan dan pemeriksaan,” Smith dilapor memberitahu podcast Big Boss Interview BBC yang disiarkan pada Ahad.
Menyifatkan AI sebagai “alat dan senjata”, Smith berkata syarikat teknologi memerlukan mekanisme kecemasan, yang sering dipanggil sebagai “kill switch” (suis pemati), untuk menghentikan sementara atau memperlahankan sistem AI sekiranya ia terlepas daripada kawalan manusia.
Dia juga menggesa penggubalan undang-undang yang mewajibkan syarikat melaporkan insiden membabitkan sistem AI yang bertindak secara berbahaya serta memaklumkan pihak terjejas.
Smith mencadangkan penilaian bebas oleh kerajaan terhadap teknologi AI baharu bagi menilai potensi risiko.
“Kita tahu bagaimana untuk melakukan ini untuk produk lain,” kata Smith. “Kita harus memanfaatkan pengetahuan itu dan memikirkan cara untuk mengaplikasikannya kepada AI.”
Kenyataannya dibuat di tengah-tengah perdebatan mengenai sama ada pembangunan dan penggunaan AI termaju perlu diperlahankan sehingga langkah perlindungan lebih kukuh dilaksanakan.
“Apabila anda lihat ejen AI yang terlepas daripada kawalan manusia, apabila anda lihat model yang begitu berkuasa yang mereka letak keselamatan siber dunia dalam risiko, saya katakan: Masanya telah tiba,” kata Smith.
