Letupan kuat gegar Sanaa, ibu negara Yaman dikuasai Houthi

Satu siri serangan menggegarkan Sanaa, ibu negara Yaman dikuasai Houthi, lewat Isnin, dengan bunyi letupan kedengaran di seluruh bandar raya itu, menurut berita Xinhua memetik penduduk tempatan memberitahunya.

Penduduk dihubungi melalui telefon berkatabeberapa letupan kuat kedengaran berturut-turut di seluruh Sanaa.

Sasaran serangan tidak diketahui dengan jelas, dan tiada laporan segera mengenai korban jiwa atau kerosakan harta benda.

Letupan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak di Yaman, di mana pertempuran baharu di beberapa barisan hadapan disertai dengan peningkatan serangan rentas sempadan antara kumpulan Houthi dan Arab Saudi.

Gabungan pimpinan Arab Saudi berkata lewat Isnin bahawa pihaknya memintas dan memusnahkan dua peluru berpandu balistik dilancarkan oleh kumpulan Houthi ke arah Khamis Mushait, sebuah bandar di barat daya Arab Saudi.

Terdahulu, kumpulan Houthi dilapor berkata mereka telah melancarkan serangan peluru berpandu balistik baharu ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, ibu negara Arab Saudi, manakala gabungan pimpinan Arab Saudi berkata pasukannya memintas dan memusnahkan peluru berpandu balistik Houthi disasarkan ke Riyadh.