Lebih 100 pendaki asing terkandas akibat banjir kilat di Manaslu, Nepal

Lebih 100 pendaki asing terkandas di daerah pergunungan Gorkha, Nepal, selepas banjir kilat menghanyutkan jambatan dan merosakkan laluan pendakian pada hujung minggu, menurut berita Anadolu memetik saluran berita tempatan, Online Khabar pada Isnin yang memetik pihak berkuasa tempatan.

Lima penduduk kampung, termasuk dua wanita, masih hilang selepas kejadian tanah runtuh di antara Lokpa dan Chumling menyekat aliran Sungai Budhi Gandaki, sekali gus mencetuskan banjir di kawasan hilir.

Anadolu melaporkan, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal, banjir itu memusnahkan beberapa jambatan, merosakkan rumah, dua menara telekomunikasi dan 50 batang tiang elektrik.

Manaslu Circuit, dekat sempadan Nepal dengan China, adalah laluan pendakian popular di Himalaya, dengan Oktober antara tempoh paling sibuk bagi aktiviti itu.