7 maut dalam insiden perlombongan haram di barat daya China

Tujuh orang maut akibat lemas selepas air hujan melimpah masuk ke dalam lubang lombong tempat mereka menjalankan aktiviti perlombongan haram di Perbandaran Chongqing, barat daya China, lapor berita Xinhua memetik polis tempatan pada Isnin.

Menurut laporan itu, polis di kawasan Autonomi Youyang Tujia dan Miao berkata mangsa ditemui di sebuah lombong terbiar yang telah ditutup, terletak dekat sempadan di antara Youyang serta Xiushan Tujia dan Miao.

Pihak polis turut menahan 21 individu yang disyaki terbabit dalam perlombongan haram ketika operasi mencari dan menyelamat susulan laporan mengenai kehilangan beberapa individu di lombong itu pada Sabtu.