Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) berkata pada malam Sabtu, pasukan aeroangkasanya telah menyasarkan radar milik AS di dua pangkalan udara di Bahrain, dalam serangan balas peluru berpandu dan dron, menurut berita Xinhua.
Operasi “serangan hibrid” itu dijalankan sebagai respons terhadap tindakan berterusan “pencerobohan dan pelanggaran” ruang udara Iran, dengan menyasarkan pangkalan udara Al-Riffa dan Awali Sakhir di Bahrain, lapor Xinhua memetik kenyataan IRGC yang disiarkan melalui saluran berita rasminya, Sepah News.
Dua radar milik sistem pertahanan udara Patriot tentera AS di pangkalan terbabit dilanda serangan itu, katanya, menambah bahawa pada awal hari yang sama, sebuah dron MQ-1 Predator dan sebuah dron MQ-9 Reaper, kedua-duanya milik tentera AS menceroboh ruang udara Iran.
Menurut Xinhua, beberapa minit sebelum kenyataan itu dikeluarkan, agensi berita separa rasmi Fars melaporkan bahawa IRGC telah menyerang pangkalan udara Shaikh Isa dan Al Juffair di Bahrain sebagai tindak balas terhadap tindakan “musuh” AS.
Terdahulu, dilaporkan bahawa beberapa letupan kedengaran pada malam Sabtu di daerah Sirik, selatan Iran. Letupan itu dikatakan berpunca dari arah laut, namun punca sebenar kejadian masih belum diketahui.
Menurut Xinhua, Fars menyatakan bahawa bunyi letupan itu mungkin disebabkan oleh tembakan amaran atau pelanggaran kapal-kapal penceroboh dengan periuk api laut.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri Bahrain menyatakan bahawa sebuah kemudahan perindustrian awam telah disasarkan dalam satu “serangan Iran”, mengakibatkan kebakaran di lokasi terbabit, lapor Xinhua.
Pasukan Pertahanan Bahrain (BDF) dilapor berkata, serpihan yang jatuh telah menyebabkan kerosakan material kecil, namun tiada kecederaan dilaporkan, selepas sistem pertahanan udara memintas beberapa serangan udara Iran yang menyasarkan negara itu.
Ia menambah bahawa Iran terus mengamalkan “pendekatan bermusuhan secara sistematik” melalui serangan yang menyasarkan Bahrain, sambil menegaskan kesediaan sistem pertahanannya untuk bertindak balas terhadap ancaman.
Pada Sabtu, juga menurut Xinhua, Timbalan Menteri Luar Iran bagi Hal Ehwal Undang-undang dan Antarabangsa, Kazem Gharibabadi, berkata negara itu menganggap sekatan ekonomi yang dikenakan oleh AS sebagai satu “tindakan perang” dan akan mengambil segala langkah perlu untuk memecahkan sekatan terbabit.

