11 maut dalam operasi tangkap ketua kartel dadah utama Mexico

Empat anggota tentera Mexico dan tujuh individu disyaki ahli kartel maut dalam satu operasi di negeri Sinaloa, barat laut Mexico, yang membawa kepada penangkapan ketua kartel dadah, Fausto Isidro Meza Flores, atau dikenali sebagai “Chapo Isidro”, lapor berita Xinhua memetik Kementerian Pertahanan Mexico pada Sabtu.

Meza Flores, seorang pemimpin pertubuhan jenayah Beltran Leyva dan seorang daripada 10 buruan paling dikehendaki oleh FBI, ditangkap pada Jumaat susulan kerjasama perisikan antara Mexico dan Amerika Syarikat, menurut Xinhua.

Dia diterbangkan ke Bandar Mexico pada awal Sabtu bersama dua suspek lain, menurut kementerian itu.

Dua suspek terbabit dikenal pasti sebagai German N, sepupu Meza Flores yang juga orang kedua dalam hierarki kumpulan itu, dan Jose N, adik iparnya yang didakwa menguruskan hal ehwal kewangan kumpulan terbabit. Ketiga-tiga mereka diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Khas bagi Jenayah Terancang.

Menurut kementerian itu, lapor Xinhua, empat anggota tentera terbabit diserang oleh ahli kumpulan jenayah bersenjata ketika dalam perjalanan untuk memperkukuh keselamatan di perbandaran Guasave.

Tiada orang awam dilaporkan terkorban atau cedera, kata kementerian itu.