Angka kematian akibat pengambilan arak tiruan di negeri Manipur, timur laut India, meningkat kepada 16 orang, manakala kira-kira 600 orang menerima rawatan di pelbagai hospital, pegawai berkata pada Sabtu — menurut berita Xinhua.
Kejadian itu dilaporkan berlaku di kawasan Chakpikarong dalam daerah Chandel, kira-kira 75 km ke selatan Imphal, ibu negeri Manipur.
“Angka kematian dalam insiden arak tiruan ini telah meningkat kepada 16 orang,” kata seorang pegawai kerajaan tempatan.
Xinhua mengatakan, menurut penyiar kendalian kerajaan, All India Radio (AIR), kira-kira 600 orang telah dimasukkan ke pelbagai hospital kerajaan dan swasta.
Seorang pegawai kanan kerajaan tempatan di Manipur, Hungyo Worshang, memberitahu pihak media bahawa pasukan daripada pentadbiran daerah, polis, jabatan eksais dan kesihatan telah melawat kawasan terjejas serta hospital-hospital terlibat untuk menilai keadaan dan memberikan bantuan diperlukan.
Dilaporkan, polis telah menahan enam individu berhubung kejadian terbabit.

