Kumpulan Houthi Yaman pada Rabu berkata ia telah melancarkan gelombang serangan baharu menggunakan peluru berpandu balistik dan dron yang menyasarkan lapangan terbang serta kemudahan ketenteraan di Arab Saudi, menurut berita Xinhua.
Jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea, dilapor berkata beberapa dron menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, sambil mendakwa serangan itu mengganggu lalu lintas udara.
Dia juga berkata, peluru berpandu balistik dan dron menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Abha dan Pangkalan Udara King Khalid dekat Khamis Mushait di wilayah Asir, serta tiga kem tentera di wilayah Jazan dan Asir bersempadan dengan Yaman.
Sarea mendakwa serangan itu menyebabkan kerosakan, mengganggu lalu lintas udara serta mengakibatkan berpuluh-puluh orang terbunuh atau cedera, menurut Xinhua, namun dakwaan itu tidak dapat disahkan secara bebas.
Menurut Xinhua, gabungan pimpinan Arab Saudi berkata sistem pertahanan udaranya telah memintas dan memusnahkan peluru berpandu balistik Houthi di utara Riyadh.
Dalam perkembangan berasingan, Sarea berkata, pasukan Houthi telah menembak jatuh sebuah dron peninjau bersenjata CH-4 milik Arab Saudi di wilayah utara Yaman, Al-Jawf; satu dakwaan yang juga tidak dapat disahkan secara bebas, lapor Xinhua.

