Fiqah

  • 11 maut tembakan di Cape Town, Afrika Selatan

    Sebelas orang terbunuh dalam tiga kejadian tembakan berasingan di Cape Town, Afrika Selatan, dari petang Sabtu hingga awal pagi Ahad, menurut berita Xinhua memetik polis tempatan pada Ahad.

    “Detektif Unit Jenayah Keganasan Berat Wilayah sedang menyiasat tiga kejadian tembakan berasingan di Langa, Gugulethu, dan Khayelitsha selepas 11 orang ditembak dan dibunuh semalaman,” kata Perkhidmatan Polis Afrika Selatan (SAPS) di Wilayah Western Cape dalam satu kenyataan, lapor Xinhua.

    Ketiga-tiga pekan itu terletak di Cape Flats, sebuah kawasan luas dan rendah di tenggara dan timur tengah Cape Town yang telah lama dibelenggu keganasan berkaitan geng.

    Di Khayelitsha, tiga lelaki berumur 25, 31, dan 35 ditembak mati kira-kira jam 10:50 malam waktu tempatan pada Sabtu, kata polis, menurut Xinhua.
    Sementara itu, empat lelaki dan seorang wanita terbunuh dalam kejadian tembakan kira-kira jam 10:45 malam waktu tempatan di Langa.

    Dalam kejadian ketiga, dua lelaki dan seorang wanita ditembak mati kira-kira jam 4:10 pagi waktu tempatan pada Ahad di Gugulethu, manakala dua orang lagi cedera, lapor Xinhua memetik polis.

  • Dua kereta api berlanggar di timur Zagreb, 20 cedera

    Sebuah kereta api penumpang dan sebuah kereta api barang berlanggar pada pagi Sabtu dekat Skrinjari, kira-kira 60 kilometer di timur ibu kota Croatia, Zagreb, menyebabkan enam penumpang parah dan 14 yang lain cedera ringan, menurut berita Xinhua.

    Kemalangan itu berlaku kira-kira jam 10:05 pagi waktu tempatan (0805 GMT) di bahagian landasan di antara stesen Sveti Ivan Zabno dan Gradec, menurut penyiar kebangsaan Croatian Radiotelevision (HRT), lapor Xinhua.

    Terdapat 28 orang di dalam kereta api penumpang ketika perlanggaran itu berlaku, membabitkan 26 penumpang, seorang pemandu kereta api dan seorang konduktor.

  • Juruterbang terbunuh apabila pesawat terhempas di selatan Portugal

    Seorang juruterbang terbunuh pada pagi Sabtu apabila sebuah pesawat ringan terhempas di lapangan terbang Portimao di daerah selatan Faro di Portugal, menurut pihak berkuasa perlindungan awam dipetik oleh agensi berita Lusa, lapor Xinhua.

    Mangsa, seorang lelaki berusia 28 tahun, adalah satu-satunya yang berada di dalam pesawat itu. Tiada korban lain dilaporkan.

    Menurut Xinhua, sumber aeronautik dipetik sebagai berkata juruterbang itu sedang menjalankan kerja udara apabila nahas itu berlaku.

  • Sekurang-kurangnya 20 maut dalam nahas lori tangki di Republik Afrika Tengah

    Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan beberapa yang lain cedera pada petang Jumaat apabila sebuah lori tangki diesel terbalik di barat daya Bangui, ibu negara Republik Afrika Tengah, menurut berita Xinhua.

    Pegawai belum mengesahkan jumlah kematian muktamad, tetapi jumlah sementara adalah 20 orang, dengan beberapa yang lain cedera dan dibawa ke hospital di Bangui untuk rawatan, lapor Xinhua.

  • Jumlah kematian akibat tembakan di Thailand meningkat kepada sembilan orang

    Bilangan mangsa maut kejadian tembakan di wilayah Nonthaburi, di utara Bangkok dilapor meningkat kepada sembilan orang, termasuk penyerang itu sendiri.

    Menurut berita TASS, walaupun terdapat usaha doktor, seorang pelajar perempuan berusia 12 tahun meninggal dunia di hospital akibat kecederaan parah dialami.

    Seorang remaja berusia 14 tahun bersenjata dilapor melepaskan tembakan di sekolah pada Jumaat, membunuh lima orang guru, dan selepas itu dia membunuh diri.

    Menurut berita TASS, polis juga menganggap datuk dan neneknya sebagai mangsa kejadian itu, kerana dia menembak mereka sebelum pergi ke institusi pendidikan terbabit.

    Seramai 23 orang cedera dalam kejadian tembakan itu, 13 daripadanya masih menerima rawatan pesakit dalam, lapor TASS.

  • 8 maut bas terbalik di utara India

    Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan 10 lagi cedera pada Sabtu selepas sebuah bas persendirian tergelincir dari jalan raya dan jatuh ke jalan yang lebih rendah di negeri Himachal Pradesh, utara India, menurut berita Xinhua memetik polis.

    Kemalangan itu dilapor berlaku di kawasan pergunungan di daerah Chamba, kira-kira 393 km di utara Shimla, ibu kota Himachal Pradesh.

    Laporan mengatakan bas itu membawa 18 orang pada masa kemalangan berlaku.

    Menurut Xinhua, hujan lebat di Himachal Pradesh menyebabkan penutupan 185 jalan raya di negeri itu.

  • Helikopter pemadam kebakaran terhempas ketika memadam kebakaran hutan di Utah

    Sebuah helikopter pemadam kebakaran terhempas pada Jumaat ketika memadam kebakaran hutan yang besar di negeri Utah AS, menurut berita Xinhua memetik pihak berkuasa.

  • 8 maut dalam kejadian tembakan di Nonthaburi Thailand

    Seorang remaja Thai dalam kejadian pada Jumaat menembak mati datuk dan neneknya sebelum membunuh sekurang-kurangnya lima orang dan dirinya sendiri di sebuah sekolah di luar Bangkok, menurut berita Reuters.

    Menurut Anadolu, penyiar awam Thai PBS sebelum ini melaporkan lelaki bersenjata itu dilaporkan seorang pelajar gred sembilan berusia 14 tahun yang ditemui mati selepas membunuh diri.

    Dua mayat – datuk dan nenek penembak – ditemui di rumahnya, lapor Anadolu, pistol yang digunakan dalam serangan itu adalah milik datuk.

    Penembakan berlaku di Sekolah Debsirin Nonthaburi, di mana lebih 30 orang cedera, Anadolu memetik akhbar Matichon.

    Wilayah Nonthaburi terletak betul-betul di barat laut ibu negara Thailand, Bangkok, dan merupakan sebahagian daripada wilayah metropolitan Bangkok yang lebih luas.

    Thailand dianggarkan mempunyai 10.3 juta senjata api dalam pemilikan awam, bersamaan dengan sekitar 15 senjata api bagi setiap 100 penduduk — kadar tertinggi di rantau ini dengan margin yang luas, Reuters memetik anggaran 2017 oleh Small Arms Survey.

    Daripada jumlah ini, lebih sedikit daripada 6 juta adalah senjata api berdaftar, dengan 4 juta lagi terdiri daripada senjata tidak berdaftar, Reuters memetik anggaran kumpulan berpangkalan di Geneva itu.

  • Salji cair dedah mayat 5 pendaki hilang selepas runtuhan salji tahun lalu di Nepal

    Mayat lima pendaki yang hilang dalam runtuhan salji maut di Puncak Yalung Ri di daerah Dolakha, Nepal pada November tahun lalu dikesan selepas salji bermusim cair, menurut berita Anadolu memetik polis pada Jumaat.

    “Kami dimaklumkan bahawa lima mayat telah dikesan di kawasan tempat pendaki hilang sejak tahun lalu,” Timbalan Superintendan Polis Manoj Kumar Lama dilapor berkata kepada Anadolu melalui telefon.

    “Kami sedang dalam proses mencari mayat manusia.”

    Menurut Anadolu, Lama yang juga ketua polis daerah, berkata pendaki tertimbus di bawah salji apabila runtuhan salji melanda mereka pada November tahun lalu. Mayat mereka kelihatan selepas salji dan ais bermusim cair.

    Pendaki dilapor tertimbus semasa cuba mendaki gunung.

    Penduduk tempatan memaklumkan polis pada Khamis selepas melihat apa yang kelihatan seperti mayat pada ketinggian sekitar 5,000 meter (16,404 kaki) berhampiran Kem Pangkalan Yalung Ri, di mana salji dan ais telah surut, lapor Anadolu.

    Sepasukan penyelamat yang terdiri daripada Sherpa elit, anggota polis dan tentera telah menemui mayat pendaki Itali, Paolo Cocco dan pendaki Perancis, Christian Andre Manfredi dua hari selepas runtuhan salji, menurut Anadolu, lima pendaki juga berjaya diselamatkan hidup-hidup.

    Bagaimanapun, lima yang lain — tiga warga asing dan dua warga Nepal — masih tertimbus di bawah salji. Misi menyelamat kemudiannya dibatalkan selepas usaha mencari mereka tidak berjaya.

    Polis menyambung semula usaha mencari selepas penduduk tempatan mengesan mayat di gunung itu.

  • 13 maut dalam nahas pesawat pelancong di Nazca Lines Peru

    Sebuah pesawat pelancong kecil terhempas pada Sabtu ketika ia terbang di atas tapak arkeologi Nazca Lines di selatan Peru, mengorbankan 13 orang, menurut berita Reuters memetik pihak berkuasa di wilayah Nazca.

    Kementerian Perdagangan dan Pelancongan Peru dilapor berkata dalam kenyataan, pesawat itu membawa 11 pelancong asing dan dua anggota kru.

    Menurut Reuters, pihak berkuasa tempatan berkata, pesawat itu terhempas di kawasan Pueblo Viejo, kira-kira 6 km (4 batu) dari bandar Nazca dan kira-kira 12 km (7 batu) dari tapak Nazca Lines.

    Pesawat kecil itu milik syarikat penerbangan tempatan Peru, Aerodiana, menurut Reuters memetik pihak berkuasa tempatan, dan telah berlepas dari Lapangan Terbang Pisco.

    Reuters melaporkan, menurut laporan polis kepada akhbar tempatan, kemalangan itu berlaku pada jam 12:55 tengah hari waktu tempatan semasa pesawat itu sedang menjalankan penerbangan bersiar-siar dan sedang bersedia untuk memulakan perjalanan pulang.

    Selepas terhempas, pesawat itu terbakar, menyebabkan sebarang usaha menyelamat mustahil dilakukan, Reuters memetik penyiar Peru RPP.

    Nazca Lines, lukisan besar dan figura geometri yang terukir di dataran gurun di selatan negara itu, merupakan salah satu destinasi pelancongan utama Peru, menarik kira-kira 100,000 pengunjung tahunan. Pengunjung biasanya melihatnya dari pesawat kecil yang terbang di atas tapak itu.