GLOBAL

  • Penyerang bersenjatakan senapang patah bunuh 8 orang di 3 lokasi di barat Turki sebelum ditangkap

    Seorang penyerang yang bersenjatakan senapang patah membunuh lapan orang di tiga lokasi berasingan di barat Turki pada Khamis, sebelum dia ditangkap, lapor berita AP memetik kenyataan pegawai dan laporan berita.

    Seorang lagi individu mengalami kecederaan dalam kejadian tembakan itu.

    Motif serangan di wilayah Afyonkarahisar itu tidak dapat dikenal pasti serta-merta.

    Menurut AP, Anadolu Agency melaporkan tiga daripada mangsa ditemui di kampung Ayazini, manakala tiga lagi maut di kampung berdekatan, Kiyir. Dua wanita yang cedera dalam satu serangan di kampung Yukaritandir kemudiannya meninggal dunia di hospital, AP memetik laporan itu.

    Polis melancarkan operasi mencari penyerang terbabit, yang akhirnya ditangkap di wilayah jiran, Eskisehir, menurut kenyataan daripada pejabat gabenor, lapor berita AP.

  • Kebakaran rumah teres di Brooklyn mengorbankan 6 orang dan mencederakan 9 yang lain

    Satu kebakaran marak melanda sebuah rumah teres berbilang keluarga di New York pada awal Khamis, mengorbankan enam orang dan mencederakan sembilan yang lain, termasuk anggota bomba dan pegawai polis, lapor berita AP memetik jabatan bomba bandar raya itu.

    Lebih 200 anggota pasukan tindak kecemasan bergegas ke bangunan dua tingkat di kawasan Sunset Park, Brooklyn itu, lapor AP, Kevin Woods, ketua operasi bomba jabatan itu, berkata sebaik tiba, mereka mendapati “api di setiap tingkat.”

    Pegawai penyiasat kebakaran masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kebakaran.

    Menurut Woods, anggota bomba berjaya menyelamatkan empat orang dengan menggunakan laluan masuk di bahagian belakang untuk mencapai mangsa yang terperangkap di sebalik jeriji tingkap.

    Rumah teres berkongsi dinding dan bahagian luar yang sama, serta biasanya dibina dalam bentuk blok.

    Pegawai bomba berkata bangunan itu merupakan sebahagian daripada blok yang terdiri daripada 25 buah rumah berangka kayu di Sunset Park, sebuah kawasan kejiranan kelas pekerja yang padat penduduk di barat daya Brooklyn, yang menempatkan komuniti Asia dan Hispanik yang besar.

  • Gempa 5.0 magnitud landa selatan Alaska

    Satu gempa bumi bermagnitud 5.0 menggegarkan selatan Alaska pada 0235 GMT Jumaat, lapor berita Xinhua memetik Pusat Penyelidikan Geosains Jerman (GFZ).

    Pusat gempa, yang terletak pada kedalaman 10.0 km, pada mulanya dikenal pasti berada pada latitud 53.69 darjah utara dan longitud 162.81 darjah barat.

  • 4 rakyat Palestin maut dalam serangan Israel di Gaza

    Serangan Israel mengorbankan empat rakyat Palestin, termasuk seorang wanita, dan mencederakan 11 yang lain di Jalur Gaza pada Khamis, lapor berita Anadolu memetik sumber perubatan dan tempatan.

    Dalam serangan terbaharu, seorang lelaki Palestin maut manakala dua yang lain cedera apabila dron Israel menyerang orang awam di kem pelarian Al-Shati, di barat bandar Gaza, lapor Anadolu memetik sumber perubatan.

    Di bahagian tengah Gaza, seorang lagi lelaki Palestin maut dalam serangan dron Israel dekat perbandaran al-Zawayda, lapor Anadolu memetik sumber perubatan di Hospital Al-Aqsa Martyrs.

    Di selatan Gaza, jasad seorang wanita berusia 54 tahun telah dibawa ke Hospital Nasser, lapor Anadolu memetik sumber perubatan.

    Saksi dilapor berkata, Sheikh al-Eid mati ditembak oleh tentera Israel ketika berada di dalam khemahnya di kawasan al-Mawasi, Khan Younis, selepas pulang dari Hospital al-Amal selepas mengucapkan selamat tinggal kepada suami dan anak perempuannya yang berlepas ke Mesir untuk mendapatkan rawatan.

    Sebelum itu, sumber perubatan di Hospital Al-Aqsa Martyrs memberitahu Anadolu bahawa Abdul Rahim Walid Matar, 27, maut, manakala seorang lagi rakyat Palestin cedera parah dalam serangan dron Israel di al-Zawayda, bahagian tengah Gaza.

    Menurut Anadolu, saksi memberitahunya bahawa dron terbabit melancarkan dua peluru berpandu ke arah sebuah khemah yang menempatkan rakyat Palestin terlantar di bahagian barat bandar itu.

    Di bahagian tengah Gaza, lima rakyat Palestin cedera apabila dron Israel menyerang orang awam di Jalan Al-Ishreen, di kem pelarian Nuseirat, lapor Anadolu memetik sumber perubatan.

    Juga di bahagian tengah Gaza, kenderaan tentera Israel melepaskan tembakan berat dekat Masjid Hosni al-Masdar, di sebelah timur kem pelarian al-Maghazi, sementara sebuah dron ‘quadcopter’ Israel menjatuhkan bom di kawasan terbabit.

    Tiada kecederaan dilaporkan, menurut Anadolu memetik sumber tempatan.

    Di bahagian utara Gaza, satu dron Israel menyerang sebuah unit kediaman di kawasan kejiranan al-Karama, barat laut bandar Gaza, menyebabkan seorang rakyat Palestin mengalami kecederaan sederhana, menurut Anadolu memetik sumber perubatan di Hospital Al-Shifa.
    Anadolu memetik sumber tempatan, vesel tentera laut Israel turut melepaskan tembakan mesingan dan peluru meriam ke arah pesisir pantai bandar Gaza.

    Di selatan Gaza, dua rakyat Palestin, termasuk seorang wanita, cedera akibat tembakan berat daripada kenderaan tentera Israel di kawasan utara dan timur Khan Younis, menurut Anadolu memetik sumber perubatan di Hospital Nasser.

    Dalam perkembangan berasingan, penduduk tempatan melaporkan tentera Israel telah merobohkan rumah dan struktur awam di kawasan yang berada di bawah kawalan mereka di sebelah timur Khan Younis.

    Penduduk turut melaporkan terdengar dua letupan kuat.

    Serangan-serangan ini berlaku di tengah-tengah laporan mengenai pelanggaran harian oleh pihak Israel terhadap perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025.

  • Presiden Israel akan umumkan pada Ahad siapa akan ditugaskan bentuk kerajaan

    Presiden Israel berkata dia akan mengumumkan pada Ahad ini ahli parlimen yang akan ditugaskan untuk membentuk kerajaan seterusnya, susulan rundingan dengan parti-parti politik selepas pilihan raya bulan lalu, lapor berita Anadolu.

    Dalam satu pesanan video pada Khamis yang dilaporkan oleh saluran berita Israel, Ynet, Isaac Herzog berkata parti-parti yang mewakili 67 daripada 120 kerusi di Knesset telah mencadangkan pemimpin parti Yashar, Gadi Eisenkot, manakala parti-parti yang memegang 46 kerusi menyokong perdana menteri semasa, Benjamin Netanyahu, pemimpin parti Likud.

    “Hasil rundingan mungkin kelihatan jelas,” kata Herzog, namun menambah bahawa keupayaan untuk membentuk kerajaan masih belum pasti disebabkan oleh bantahan antara satu sama lain, baik dalam kalangan blok politik mahupun di dalam blok terbabit.

    Dia berkata, akan mengadakan perbincangan lanjut secara berasingan dengan pemimpin-pemimpin parti bagi menilai prospek mereka untuk membentuk sebuah gabungan.

    Herzog menegaskan dia akan berusaha sedaya upaya untuk memudahkan pembentukan sebuah kerajaan yang stabil.

    Israel telah mengadakan pilihan raya parlimen pada 27 Oktober lalu, di mana baik blok Netanyahu mahupun pihak pembangkang gagal memperoleh majoriti mutlak.

    Di bawah undang-undang Israel, presiden akan menugaskan seorang ahli parlimen untuk membentuk kerajaan selepas berunding dengan puak-puak parlimen, dengan mengambil kira keupayaan mereka untuk mendapatkan sokongan majoriti di Knesset.

  • 4 maut SUV jatuh gaung 300 meter di utara India

    Empat orang maut, seorang parah, dan dua lagi hilang selepas SUV dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung sedalam 300 meter dan berakhir di dalam sungai di negeri Uttarakhand, utara India, pada awal pagi Khamis, seorang pegawai polis tempatan mengesahkan, menurut berita Xinhua.

    Selain pemandu, kenderaan itu membawa enam penumpang—tiga lelaki dan tiga wanita. Semua empat mangsa yang maut adalah lelaki, termasuk pemandu terbabit.

    Mangsa yang cedera dan dua orang yang hilang adalah wanita, kata pegawai terbabit, sambil menambah bahawa mangsa dari negeri Gujarat di bahagian barat India dan dalam perjalanan untuk ziarah di Uttarakhand.

    Operasi mencari dua wanita yang hilang masih giat dijalankan.

  • Pesawat dalam perjalanan dari Dublin ke Rome dilapor dilencongkan ke pangkalan udara di Perancis susulan amaran bom

    Sebuah pesawat penumpang Airbus A320 yang dalam perjalanan dari Dublin ke Rome dilencongkan ke pangkalan udara Evreux di utara Perancis pada pagi Khamis susulan satu amaran bom, menurut berita Xinhua memetik laporan media Perancis.

    Menurut saluran televisyen Perancis TF1, situasi itu sedang dipantau secara masa nyata oleh pihak berkuasa Perancis.

  • 4 pesawat yang menerima ancaman bom bersiap sedia untuk mendarat di Prague— Polis Czech

    Polis Czech memaklumkan pada Khamis bahawa mereka sedang bekerjasama dengan Lapangan Terbang Prague bagi persediaan pendaratan empat pesawat yang menuju ke ibu kota Czech itu, susulan penerimaan ancaman bom yang mendakwa bahan letupan telah diletakkan di dalam pesawat-pesawat terbabit, lapor berita Xinhua.

    Polis menilai tahap kredibiliti ancaman itu sebagai rendah.

  • Ancaman bom dilaporkan dalam beberapa penerbangan di seluruh Eropah

    Ancaman bom dilaporkan berlaku dalam beberapa penerbangan penumpang di seluruh Eropah pada Khamis, dengan sesetengah daripada pesawat terbabit telah mendarat dengan selamat, menurut berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, media Bulgaria melaporkan tiga pesawat yang dalam perjalanan dari Copenhagen, Madrid dan London menuju ke ibu kota Bulgaria, Sofia, telah menerima ancaman bom.

    Sementara itu, sebuah penerbangan LOT Polish Airlines dari Warsaw telah mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Brussels susulan laporan mencurigakan yang membabitkan pesawat terbabit, lapor Xinhua memetik saluran berita Belgium, BRUZZ, memetik Agensi Berita Belga.

  • Pemimpin Demokrat di Senat AS kata akan tamatkan perang dengan Iran

    Pemimpin Demokrat di Senat AS, Chuck Schumer, berkata pada Rabu bahawa “kita akan menamatkan perang” dengan Iran, dan ia akan mendapat sokongan daripada sesetengah anggota Republikan di Senat, menurut berita Xinhua.

    “Kita akan menamatkan perang. Kita ada sesetengah Republikan yang sudah menyertai kita dalam menamatkan perang ini, dan Bapa Pengasas negara telah menetapkan bahawa kuasa mengawal perbelanjaan awam (power of the purse) sebagai satu daripada cara untuk mengekang presiden yang mencetuskan perang tanpa persetujuan rakyat Amerika,” kata Schumer dalam satu sidang media di ibu pejabat Jawatankuasa Kempen Senator Demokrat (Democratic Senatorial Campaign Committee) di Washington, D C, lapor Xinhua.

    Kenyataan Schumer itu dibuat beberapa jam selepas Hari Pilihan Raya, di mana Parti Demokrat dijangka bakal mengambil alih kawalan Dewan Perwakilan dan Senat dalam pilihan raya pertengahan penggal.

    Presiden Donald Trump memberitahu The Wall Street Journal pada malam Selasa bahawa perang itu adalah antara punca kekalahan meluas Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal, menurut Xinhua. Trump bagaimanapun menegaskan dia tidak menyesal memulakan perang itu awal tahun ini.

    “Isu Iran adalah satu faktornya,” kata Trump dalam satu temu bual telefon dengan akhbar harian AS itu, ketika ditanya sama ada perang itu menyumbang kepada prestasi buruk Republikan dalam pilihan raya berkenaan.

    Pada Jun, empat senator daripada Republikan mengundi bersama anggota Demokrat untuk menyokong satu resolusi kuasa perang, mengarahkan Trump supaya menarik balik tentera AS daripada permusuhan terhadap Iran—tindakan yang sebelum ini diambil tanpa kebenaran rasmi daripada Kongres untuk menggunakan kekerasan ketenteraan.