Pemimpin Demokrat di Senat AS kata akan tamatkan perang dengan Iran

Pemimpin Demokrat di Senat AS, Chuck Schumer, berkata pada Rabu bahawa “kita akan menamatkan perang” dengan Iran, dan ia akan mendapat sokongan daripada sesetengah anggota Republikan di Senat, menurut berita Xinhua.

“Kita akan menamatkan perang. Kita ada sesetengah Republikan yang sudah menyertai kita dalam menamatkan perang ini, dan Bapa Pengasas negara telah menetapkan bahawa kuasa mengawal perbelanjaan awam (power of the purse) sebagai satu daripada cara untuk mengekang presiden yang mencetuskan perang tanpa persetujuan rakyat Amerika,” kata Schumer dalam satu sidang media di ibu pejabat Jawatankuasa Kempen Senator Demokrat (Democratic Senatorial Campaign Committee) di Washington, D C, lapor Xinhua.

Kenyataan Schumer itu dibuat beberapa jam selepas Hari Pilihan Raya, di mana Parti Demokrat dijangka bakal mengambil alih kawalan Dewan Perwakilan dan Senat dalam pilihan raya pertengahan penggal.

Presiden Donald Trump memberitahu The Wall Street Journal pada malam Selasa bahawa perang itu adalah antara punca kekalahan meluas Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal, menurut Xinhua. Trump bagaimanapun menegaskan dia tidak menyesal memulakan perang itu awal tahun ini.

“Isu Iran adalah satu faktornya,” kata Trump dalam satu temu bual telefon dengan akhbar harian AS itu, ketika ditanya sama ada perang itu menyumbang kepada prestasi buruk Republikan dalam pilihan raya berkenaan.

Pada Jun, empat senator daripada Republikan mengundi bersama anggota Demokrat untuk menyokong satu resolusi kuasa perang, mengarahkan Trump supaya menarik balik tentera AS daripada permusuhan terhadap Iran—tindakan yang sebelum ini diambil tanpa kebenaran rasmi daripada Kongres untuk menggunakan kekerasan ketenteraan.