GLOBAL

  • Pentagon bekalkan sejumlah besar dron, teknologi anti-dron kepada tentera AS di Timur Tengah

    Pentagon berkata pada Rabu, ia membekalkan lebih daripada 25,000 sistem tanpa pemandu dan keupayaan anti-dron kepada Perintah Pusat (CENTCOM) tentera AS pada tahun ini, susulan pelaburan bernilai $782 juta, menurut berita Anadolu.

    Penghantaran besar-besaran ini merangkumi lebih daripada 1,300 kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) jenis serangan sehala, lebih 100 kenderaan tanpa pemandu di permukaan dan bawah air, serta lebih 24,000 sistem anti-UAV yang direka untuk melindungi tentera AS daripada serangan dron pihak musuh.

    Keupayaan ini dibekalkan melalui “Direct Reporting Portfolio Manager for Unmanned Systems” (DRPM-UxS), dengan operasi anti-dron disokong oleh “Joint Interagency Task Force 401”.

    Pentagon berkata, inisiatif ini mencerminkan peralihan ke arah perolehan pertahanan yang lebih pantas serta pengeluaran besar-besaran sistem tanpa pemandu yang mampu milik.
    Langkah ini memberikan komander keupayaan operasi tambahan, di samping mengurangkan pergantungan kepada senjata tradisional yang mahal.

    “Di bawah arahan Setiausaha (Pete) Hegseth, kami bergerak mengikut kepantasan peperangan moden bagi melengkapkan pasukan kami dengan aset yang berkesan, mampu milik, dan tersedia dalam jumlah yang besar,” kata Owen West, Ketua Pegawai Eksekutif “Project Agincourt” dan DRPM-UxS.

    Usaha ini juga menyokong rancangan untuk menubuhkan “Autonomous Warfare Command” (AUTOWARCOM)—sebuah perintah tempur bertaraf empat bintang yang dicadangkan, dijangka mula beroperasi menjelang 1 Oktober 2027.

    Pentagon berkata, ia akan meneruskan penghantaran kepada CENTCOM, sambil memperluas penempatan sistem tanpa pemandu dan autonomi kepada tentera AS di rantau Indo-Pasifik, Eropah, dan seluruh Angkatan Bersama.

  • Houthi Yaman dakwa lancarkan serangan peluru berpandu balistik ke atas lapangan terbang Riyadh

    Kumpulan Houthi Yaman pada Rabu berkata mereka melancarkan serangan peluru berpandu balistik ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, ibu kota Arab Saudi, sambil mendakwa serangan itu menyebabkan kerosakan besar pada kemudahan terbabit, lapor berita Xinhua.

  • 3 maut dalam kejadian tembakan di negeri Washington

    Kejadian tembakan di Daerah Spokane, negeri Washington, Amerika Syarikat (AS), pada petang Selasa mengorbankan dua orang dan suspek, manakala dua timbalan syerif mengalami kecederaan kritikal, lapor berita Xinhua memetik media tempatan melaporkan pada Rabu.

    Menurut Syerif Daerah, John Nowels, timbalan syerif terbabit bertindak balas terhadap laporan mengenai insiden tembakan yang berkaitan dengan keganasan rumah tangga di sebuah kediaman, susulan laporan daripada seorang wanita yang dia ditembak dan memerlukan rawatan perubatan.

    Nowels berkata, pasukan SWAT telah dipanggil untuk memberikan bantuan selepas pihak berkuasa mendapati suspek mempunyai waran tangkap aktif bagi satu kesalahan jenayah berat.

    Dua timbalan syerif yang cedera serta wanita terbabit dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Syerif itu memaklumkan bahawa kecederaan yang dialami oleh wanita terbabit tidak mengancam nyawa.

    Pihak berkuasa masih belum mendedahkan identiti mangsa mahupun suspek. Keadaan sebenar yang membawa kepada kejadian tembakan itu masih dalam siasatan.

  • Helikopter tentera Indonesia terhempas semasa misi padam kebakaran, 1 maut

    Sebuah helikopter tentera Indonesia terhempas semasa menjalankan misi memadam kebakaran hutan dan lahan di wilayah Kalimantan Tengah pada Rabu, mengakibatkan seorang daripada lapan krunya maut, lapor berita Xinhua memetik tentera Indonesia.

    Jurucakap tentera Indonesia, Donny Pramono, berkata helikopter itu terhempas di perairan dekat Desa Sungai Perlu di Kabupaten Seruyan pada kira-kira 11:18 pagi waktu tempatan.

    Lima anggota kru selamat dan sedang menerima rawatan di hospital tempatan, manakala usaha mencari dan menyelamat diteruskan bagi dua lagi kru.

    Helikopter terbabit berlepas dari Kuala Pembuang pada 9:55 pagi untuk menyokong operasi memadam kebakaran di Taman Nasional Tanjung Puting.

    Donny berkata, kemalangan itu berlaku ketika helikopter terbabit mengambil air laut untuk operasi pemadaman kebakaran dari udara, sambil menambah bahawa pihak penyiasat masih menyiasat punca nahas.

  • Demokrat peroleh kawalan Senat AS susulan pilihan raya pertengahan penggal

    Parti Demokrat bakal menguasai sekurang-kurangnya 51 kerusi dalam Senat AS susulan pilihan raya pertengahan penggal, sekali gus memberikan mereka kawalan ke atas dewan atasan itu, lapor berita Tass memetik anggaran oleh Bloomberg.

  • Menteri Pengangkutan Sepanyol umum peletakan jawatan selepas nahas tren

    Menteri Pengangkutan Sepanyol, Oscar Puente, pada Selasa mengumumkan peletakan jawatannya susulan kemalangan kereta api berkelajuan tinggi di Toledo minggu lalu yang mengorbankan 69 nyawa dan mencederakan kira-kira 200 orang lain, menurut berita Anadolu memetik laporan akhbar El Pais.

    “Seorang Menteri Pengangkutan di negara seperti Sepanyol tidak wajar terus memegang jawatannya selepas berlaku dua kemalangan dalam tempoh kurang setahun; ini demi maruah diri,” kata Puente kepada Jawatankuasa Tetap Kongres.

    “Oleh itu, keputusan saya ini adalah satu keputusan yang didasari oleh maruah politik, dan ia harus dilihat sedemikian rupa,” katanya.

    Puente berkata pada mulanya dia bercadang untuk menunggu dapatan awal siasatan sebelum mengumumkan peletakan jawatannya.

    Dia turut mengesahkan bahawa dia tidak akan bertanding sebagai calon utama bagi Parti Pekerja Sosialis Sepanyol di Valladolid dalam pilihan raya pada 29 November nanti.

    Dalam ucapannya, Puente mempertahankan rekod kerajaan berhubung infrastruktur kereta api, sambil menolak dakwaan bahawa laluan kereta api berkelajuan tinggi Madrid-Seville telah diabaikan.

    Dia berkata, kerajaan telah melancarkan pelan pemodenan bernilai €780 juta ($873 juta) bagi laluan terbabit, sekali gus menegaskan bahawa infrastruktur itu tidak pernah ditinggalkan mahupun dilupakan.

    Kemalangan pada 28 Oktober itu berlaku apabila sebuah tren berkelajuan tinggi milik Renfe melanggar belakang sebuah tren Iryo yang sedang berhenti dekat Urda, di wilayah Toledo.

    Puente berkata, kegagalan pada sistem perlindungan kereta api automatik telah menyebabkan kereta api terhenti, sebelum seorang pengawal memberi kebenaran kepada kereta api Renfe itu untuk meneruskan perjalanan pada kelajuan biasa.

    Pada Januari, satu lagi kemalangan di laluan berkelajuan tinggi yang sama, yang menghubungkan Madrid dan Seville, mengorbankan 46 orang.

  • Kapal tangki dihentam projektil di luar pesisir Oman — UKMTO

    Sebuah kapal tangki dilanda oleh dua projektil tidak dikenal pasti di bahagian bilik enjinnya di timur laut Lima, Oman, pada Selasa, lapor berita Xinhua memetik United Kingdom Maritime Trade Operations (UKMTO).

    Insiden itu berlaku pada 19:00 GMT, kira-kira 14 batu nautika (26 km) di timur laut Lima, berdasarkan laporan yang diterima oleh UKMTO daripada pegawai keselamatan syarikat kapal tangki terbabit.

    Tiada kemalangan jiwa atau kesan terhadap alam sekitar dilaporkan.

  • 1 maut, 1 cedera dalam perlanggaran helikopter di timur laut Nepal

    Seorang warga asing maut manakala seorang lagi cedera selepas dua helikopter berlanggar semasa mendarat di sebuah tapak pendaratan helikopter di daerah Solukhumbu, timur laut Nepal, pada Selasa, lapor berita Xinhua.

    Helikopter terbabit, yang masing-masing dikendalikan oleh Fishtail Air dan Air Dynasty, berlanggar di tapak pendaratan itu pada kira-kira 8:15 pagi waktu tempatan, menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal (CAAN).

    Pihak berkuasa menerima maklumat bahawa bilah rotor kedua-dua helikopter itu berlanggar antara satu sama lain semasa proses pendaratan, kata Gyanendra Bhul, pegawai maklumat di CAAN, kepada Xinhua.

    Menurutnya, CAAN sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mendapatkan perincian tambahan mengenai kejadian terbabit.

  • AS serang Pulau Qeshm Iran dekat Selat Hormuz

    Amerika Syarikat (AS) menyerang Pulau Qeshm Iran yang strategik, di Selat Hormuz, pada Isnin, menurut berita Xinhua memetik laporan The Wall Street Journal yang memetik pegawai AS.

    Serangan itu yang terkini dalam “siri serangan terhad yang dijalankan secara rahsia oleh Washington terhadap negara itu sejak beberapa minggu kebelakangan ini, pada masa yang sama Presiden Trump menguar-uarkan kemungkinan tercapainya satu perjanjian diplomatik,” menurut laporan itu, lapor Xinhua.

    AS telah melancarkan serangan berskala lebih kecil terhadap Iran untuk beberapa minggu lalu, dengan laporan mengenai letupan di sekitar Pulau Qeshm muncul di media sosial pada Isnin, menurut laporan itu.

    Sesetengah pegawai AS menyifatkan serangan itu sebagai operasi pertahanan bertujuan menghalang Iran daripada menyerang kapal komersial secara bebas di Selat Hormuz.

    Berbeza dengan peringkat awal konflik, AS tidak mengumumkan serangan itu secara terbuka, menurut laporan itu.

    Washington sengaja merahsiakan kempen ini bagi mengelak daripada memberi isyarat bahawa mereka berhasrat untuk menyambung semula operasi tempur berskala besar, kata seorang pegawai AS seperti yang dipetik, lapor Xinhua.

  • 2 maut nahas pesawat ringan Mexico

    Dua orang maut pada Isnin apabila sebuah pesawat Cessna terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Nasional Pachuca di negeri Hidalgo, tengah Mexico, lapor Anadolu memetik Agensi Penerbangan Awam Persekutuan (AFAC) Mexico.

    Pesawat Cessna 210 itu, yang dikendalikan oleh Grupo Aeroespacial Avspace, berlepas pada 9.30 pagi waktu tempatan (1530GMT) menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Cuernavaca di negeri Morelos, kata AFAC dalam satu hantaran di X.

    Pesawat itu terhempas hanya seminit selepas berlepas semasa fasa pendakian awal, ketika ia berada kira-kira 500 meter (1,640 kaki) dari permulaan landasan 21, kata agensi itu, menurut Anadolu.

    Menurut maklumat awal, pesawat itu jatuh di Tezontle Avenue di kawasan kejiranan Venta Prieta, Pachuca, ibu negeri Hidalgo.

    Nahas itu berlaku di luar kawasan lapangan terbang, di sebuah kawasan kejiranan bandar yang terletak dekat landasan lapangan terbang, menurut laporan awal daripada pihak berkuasa penerbangan.

    Kedua-dua individu yang berada di dalam pesawat itu maut, lapor Anadolu.

    Cessna 210 ialah pesawat enjin tunggal yang digunakan untuk penerbangan persendirian dan penerbangan am.