Penyerang bersenjatakan senapang patah bunuh 8 orang di 3 lokasi di barat Turki sebelum ditangkap

Seorang penyerang yang bersenjatakan senapang patah membunuh lapan orang di tiga lokasi berasingan di barat Turki pada Khamis, sebelum dia ditangkap, lapor berita AP memetik kenyataan pegawai dan laporan berita.

Seorang lagi individu mengalami kecederaan dalam kejadian tembakan itu.

Motif serangan di wilayah Afyonkarahisar itu tidak dapat dikenal pasti serta-merta.

Menurut AP, Anadolu Agency melaporkan tiga daripada mangsa ditemui di kampung Ayazini, manakala tiga lagi maut di kampung berdekatan, Kiyir. Dua wanita yang cedera dalam satu serangan di kampung Yukaritandir kemudiannya meninggal dunia di hospital, AP memetik laporan itu.

Polis melancarkan operasi mencari penyerang terbabit, yang akhirnya ditangkap di wilayah jiran, Eskisehir, menurut kenyataan daripada pejabat gabenor, lapor berita AP.