Serangan Israel mengorbankan empat rakyat Palestin, termasuk seorang wanita, dan mencederakan 11 yang lain di Jalur Gaza pada Khamis, lapor berita Anadolu memetik sumber perubatan dan tempatan.
Dalam serangan terbaharu, seorang lelaki Palestin maut manakala dua yang lain cedera apabila dron Israel menyerang orang awam di kem pelarian Al-Shati, di barat bandar Gaza, lapor Anadolu memetik sumber perubatan.
Di bahagian tengah Gaza, seorang lagi lelaki Palestin maut dalam serangan dron Israel dekat perbandaran al-Zawayda, lapor Anadolu memetik sumber perubatan di Hospital Al-Aqsa Martyrs.
Di selatan Gaza, jasad seorang wanita berusia 54 tahun telah dibawa ke Hospital Nasser, lapor Anadolu memetik sumber perubatan.
Saksi dilapor berkata, Sheikh al-Eid mati ditembak oleh tentera Israel ketika berada di dalam khemahnya di kawasan al-Mawasi, Khan Younis, selepas pulang dari Hospital al-Amal selepas mengucapkan selamat tinggal kepada suami dan anak perempuannya yang berlepas ke Mesir untuk mendapatkan rawatan.
Sebelum itu, sumber perubatan di Hospital Al-Aqsa Martyrs memberitahu Anadolu bahawa Abdul Rahim Walid Matar, 27, maut, manakala seorang lagi rakyat Palestin cedera parah dalam serangan dron Israel di al-Zawayda, bahagian tengah Gaza.
Menurut Anadolu, saksi memberitahunya bahawa dron terbabit melancarkan dua peluru berpandu ke arah sebuah khemah yang menempatkan rakyat Palestin terlantar di bahagian barat bandar itu.
Di bahagian tengah Gaza, lima rakyat Palestin cedera apabila dron Israel menyerang orang awam di Jalan Al-Ishreen, di kem pelarian Nuseirat, lapor Anadolu memetik sumber perubatan.
Juga di bahagian tengah Gaza, kenderaan tentera Israel melepaskan tembakan berat dekat Masjid Hosni al-Masdar, di sebelah timur kem pelarian al-Maghazi, sementara sebuah dron ‘quadcopter’ Israel menjatuhkan bom di kawasan terbabit.
Tiada kecederaan dilaporkan, menurut Anadolu memetik sumber tempatan.
Di bahagian utara Gaza, satu dron Israel menyerang sebuah unit kediaman di kawasan kejiranan al-Karama, barat laut bandar Gaza, menyebabkan seorang rakyat Palestin mengalami kecederaan sederhana, menurut Anadolu memetik sumber perubatan di Hospital Al-Shifa.
Anadolu memetik sumber tempatan, vesel tentera laut Israel turut melepaskan tembakan mesingan dan peluru meriam ke arah pesisir pantai bandar Gaza.
Di selatan Gaza, dua rakyat Palestin, termasuk seorang wanita, cedera akibat tembakan berat daripada kenderaan tentera Israel di kawasan utara dan timur Khan Younis, menurut Anadolu memetik sumber perubatan di Hospital Nasser.
Dalam perkembangan berasingan, penduduk tempatan melaporkan tentera Israel telah merobohkan rumah dan struktur awam di kawasan yang berada di bawah kawalan mereka di sebelah timur Khan Younis.
Penduduk turut melaporkan terdengar dua letupan kuat.
Serangan-serangan ini berlaku di tengah-tengah laporan mengenai pelanggaran harian oleh pihak Israel terhadap perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025.
