Pada Rabu, pasukan penyelamat di Gaza memeriksa runtuhan sebuah bangunan pangsapuri yang musnah akibat pengeboman dan runtuh semalaman, mengorbankan sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin termasuk lima kanak-kanak, menurut berita Reuters.
Insiden ini menyerlahkan bahaya berterusan dihadapi oleh puluhan ribu rakyat Palestin yang tinggal di dianggarkan 2,000 buah bangunan rosak akibat serangan udara Israel di Gaza.
Menurut Reuters, pekerja penyelamat daripada pertahanan awam berkata sekurang-kurangnya 12 orang termasuk lima kanak-kanak terkorban dan 14 lagi cedera apabila bangunan tujuh tingkat itu runtuh. Hampir 100 orang lagi dipercayai terperangkap di bawah runtuhan.
Reuters melaporkan, satu video diperolehnya menunjukkan pekerja penyelamat cuba mengeluarkan dua orang dari bawah dinding runtuh.
Satu lagi video tular di media sosial memaparkan jurucakap pertahanan awam Gaza, Mahmoud Basal, sedang mendukung seorang kanak-kanak perempuan dibalut dengan kain tudung berlumuran darah, lapor Reuters.
Raed Al-Dahshan, pengarah perkhidmatan pertahanan awam Bandar Gaza, dilapor berkata sekurang-kurangnya 10 keluarga tinggal di bangunan yang runtuh itu dan masih terdapat harapan untuk menemui mangsa terselamat.
“Kami masih mendengar suara-suara dari bawah runtuhan, jadi masih ada harapan untuk menemui mangsa,” kata Dahshan.
Alessandro Mrakic, ketua pejabat Program Pembangunan PBB (UNDP) di Gaza, berkata penyelamat daripada beberapa agensi PBB turut serta dalam usaha menyelamat, yang dia sifatkan sebagai sukar disebabkan kekurangan jentera sesuai, menurut Reuters, agensi bantuan Mesir juga mengambil bahagian dalam usaha menyelamat itu.
“Situasinya, seperti yang anda lihat, amat tragik kerana kami tidak mempunyai peralatan dan jentera diperlukan. Jadi, sebenarnya orang ramai menggali menggunakan tangan kosong. Kami perlu bersedia (untuk kemungkinan lebih banyak kematian),” kata Mrakic.
“Terdapat kira-kira 400 bangunan yang berisiko runtuh. Dan kami tahu bangunan-bangunan ini akan runtuh, terutama sekarang dengan musim sejuk bakal tiba,” tambahnya.
Pegawai Palestin dan PBB menyalahkan sekatan Israel terhadap Gaza sebagai punca kekurangan jentera berat di wilayah itu. Israel menyatakan bahawa sekatan itu bertujuan menghalang peralatan daripada jatuh ke tangan kumpulan militan.