Nigeria mengisytiharkan berkabung kebangsaan tiga hari bermula Selasa bagi 32 anggota tentera udara yang terkorban apabila sebuah pesawat tentera terhempas di negeri Ondo, barat daya negara itu, pada Isnin, menurut berita Xinhua.
Presiden Nigeria, Bola Tinubu, semasa mengumumkan tempoh berkabung itu lewat Isnin, turut mengarahkan bendera kebangsaan dikibarkan separuh tiang di seluruh negara bagi memberi penghormatan kepada mangsa, membabitkan 25 penumpang dan tujuh anggota kru.
“Ini merupakan saat yang menyedihkan bagi angkatan tentera kita dan seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan, sambil mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan terhadap insiden itu, lapor Xinhua.
Tentera udara Nigeria sebelum ini mengesahkan pesawat turboprop dua enjin ATR-42, dengan nombor ekor NGR 931, sedang dalam misi rutin dari Benin City di selatan Nigeria ke Lagos.
Pesawat itu terhempas dekat Pangkalan Tentera Laut di Igbokoda, sebuah komuniti kawasan sungai di negeri Ondo, menurut Festus Keyamo, menteri penerbangan dan pembangunan aeroangkasa, lapor Xinhua.
Menurut Xinhua, menteri itu berkata pesawat terbabit terputus hubungan dengan pengawal trafik udara sebelum nahas berlaku, dan segala usaha untuk mewujudkan semula hubungan radio tidak berjaya.
Pada 26 September 1992, lebih 150 anggota tentera terkorban apabila pesawat tentera udara Nigeria terhempas ke dalam terusan di kawasan kejiranan Lagos sejurus selepas berlepas.
Mangsa kebanyakannya terdiri daripada pegawai berpangkat pertengahan yang sedang mengikuti kursus di negeri Kaduna, barat laut negara itu.

