Seorang rakyat Palestin terbunuh dan dua lagi cedera pada Isnin akibat tembakan tentera Israel selepas kenderaan mereka ditembak dekat pintu masuk pekan Bani Naim, di selatan Hebron, Tebing Barat, menurut berita Xinhua memetik sumber Palestin.
Pihak Berkuasa Umum Hal Ehwal Awam Palestin dilaporkan berkata dalam kenyataan ringkas bahawa mereka yang cedera dipindahkan ke hospital di dalam Israel untuk rawatan. Identiti mangsa yang terbunuh dan cedera masih belum diketahui.
Menurut Xinhua, terdahulu, tentera Israel berkata dalam kenyataan bahawa “susulan laporan yang diterima mengenai cubaan serangan rempuh di kawasan Bani Naim, askar IDF (Pasukan Pertahanan Israel) yang bertugas di kawasan itu mengesan sebuah kenderaan membawa tiga suspek yang dipandu dalam keadaan mencurigakan. Kenderaan itu kemudian memecut ke arah kenderaan IDF dan melanggarnya.”
Askar dilapor bertindak balas dengan melepaskan tembakan ke arah kenderaan terbabit.

