Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera selepas sebuah bas antara bandar terjunam ke dalam Sungai Bafing pada Isnin di jalan Touba-Biankouma di barat laut Cote d’Ivoire, menurut berita Xinhua memetik sumber keselamatan.
Bas dikendalikan oleh Diarra Transport itu membawa lebih 50 penumpang dari Odienne ke Yamoussoukro apabila ia terbabas dari jalan raya atas sebab yang belum ditentukan sebelum terjunam ke dalam sungai dekat kampung Bafingdala, Xinhua memetik sumber itu.
Laporan awal menyatakan jumlah kematian seramai 14 orang, manakala 40 orang cedera dan beberapa lagi masih hilang.
