Sekurang-kurangnya 4 maut akibat ribut di selatan Brazil

Sekurang-kurangnya empat orang terkorban dan beberapa yang lain masih hilang selepas ribut kuat melanda negeri Rio Grande do Sul di selatan Brazil, menurut berita Xinhua memetik kenyataan pihak pertahanan awam pada Selasa.

Ribut itu menyebabkan gangguan bekalan elektrik kepada lebih 700,000 penduduk, dengan kelajuan angin kencang melebihi 115 km sejam dan taburan hujan sehingga 15 cm di sesetengah kawasan. Hujan lebat, angin kencang, hujan batu, banjir dan tanah runtuh telah menjejaskan beberapa bahagian negeri itu, di mana pihak berkuasa mengekalkan amaran bagi risiko tanah runtuh dan kawasan banjir.

Xinhua melaporkan, menurut laporan pertahanan awam, kira-kira 2,732 orang telah dipindahkan dan 146 kawasan perbandaran di Rio Grande do Sul melaporkan kejadian yang berpunca daripada ribut terbabit.