Penyanyi Brazil dan 4 yang lain maut dalam nahas helikopter

Lima orang, termasuk penyanyi Brazil Rick Sollo daripada duo muzik sertanejo Rick & Renner, ditemui mati pada Selasa selepas helikopter mereka terhempas di kawasan pergunungan negeri Santa Catarina di selatan Brazil, menurut berita Xinhua memetik pihak bomba.

Helikopter itu dilaporkan hilang pada Isnin selepas berlepas dari Porto Belo di pantai utara negeri itu menuju ke Sao Joaquim, di mana cuaca buruk dan ribut petir diramalkan.

Turut berada di dalam helikopter itu ialah ahli perniagaan Bruno Avelar, jurukamera Paulo Soares, serta juruterbang dan pembantu juruterbang.

Serpihan helikopter ditemui pada Selasa semasa operasi mencari membabitkan kira-kira 40 anggota bomba, lebih 10 kenderaan dan dron, dua anjing pengesan, serta sebuah pesawat, di tengah-tengah keadaan berkabus.

Menurut Xinhua, agensi penerbangan awam Brazil berkata pesawat itu, model Bell 430 keluaran tahun 2001, mempunyai kebenaran untuk beroperasi.

Rick & Renner merupakan salah satu duo muzik sertanejo paling terkenal di Brazil dengan kerjaya yang bermula sejak 1980-an.