Beberapa rakyat Palestin maut akibat serangan Israel di Gaza

Dua rakyat Palestin terbunuh pada Rabu apabila serangan udara Israel menyasarkan sebuah kenderaan awam di kawasan al-Mawasi, Khan Younis di selatan Gaza, menurut berita Xinhua memetik Pertahanan Awam Gaza dan penduduk tempatan.

Menurut Xinhua, Mahmoud Basal, jurucakap Pertahanan Awam Gaza, memberitahunya bahawa sebuah pesawat Israel menyasarkan kenderaan awam itu ketika ia bergerak di kawasan al-Mawasi, membunuh dua rakyat Palestin dan mencederakan beberapa orang lain.

Penduduk tempatan dilapor berkata, serangan Israel itu melanda sebuah kenderaan awam di kawasan terbabit, sambil menambah bahawa serangan itu mengakibatkan korban mereka yang berada di dalam kenderaan itu.

Menurut Xinhua, juga pada Rabu, pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata dalam satu kenyataan akhbar bahawa tentera Israel telah membunuh Mohammed Abu Alwan, ketua jabatan kewangan Hamas, dalam satu serangan di selatan Jalur Gaza.

Dalam perkembangan berasingan, Basal dilapor berkata, seorang wanita Palestin meninggal dunia akibat kecederaan parah daripada tembakan tentera Israel di kem pelarian Bureij di tengah Gaza.

Seorang pemuda Palestin juga meninggal dunia akibat kecederaan dialami dalam serangan Israel terhadap sekumpulan rakyat Palestin di Jalan al-Nasr, Bandar Gaza pada malam Selasa, lapor Xinhua memetik Basal.