Mayat lima pendaki yang hilang dalam runtuhan salji maut di Puncak Yalung Ri di daerah Dolakha, Nepal pada November tahun lalu dikesan selepas salji bermusim cair, menurut berita Anadolu memetik polis pada Jumaat.
“Kami dimaklumkan bahawa lima mayat telah dikesan di kawasan tempat pendaki hilang sejak tahun lalu,” Timbalan Superintendan Polis Manoj Kumar Lama dilapor berkata kepada Anadolu melalui telefon.
“Kami sedang dalam proses mencari mayat manusia.”
Menurut Anadolu, Lama yang juga ketua polis daerah, berkata pendaki tertimbus di bawah salji apabila runtuhan salji melanda mereka pada November tahun lalu. Mayat mereka kelihatan selepas salji dan ais bermusim cair.
Pendaki dilapor tertimbus semasa cuba mendaki gunung.
Penduduk tempatan memaklumkan polis pada Khamis selepas melihat apa yang kelihatan seperti mayat pada ketinggian sekitar 5,000 meter (16,404 kaki) berhampiran Kem Pangkalan Yalung Ri, di mana salji dan ais telah surut, lapor Anadolu.
Sepasukan penyelamat yang terdiri daripada Sherpa elit, anggota polis dan tentera telah menemui mayat pendaki Itali, Paolo Cocco dan pendaki Perancis, Christian Andre Manfredi dua hari selepas runtuhan salji, menurut Anadolu, lima pendaki juga berjaya diselamatkan hidup-hidup.
Bagaimanapun, lima yang lain — tiga warga asing dan dua warga Nepal — masih tertimbus di bawah salji. Misi menyelamat kemudiannya dibatalkan selepas usaha mencari mereka tidak berjaya.
Polis menyambung semula usaha mencari selepas penduduk tempatan mengesan mayat di gunung itu.

