Populasi Muslim dijangka meningkat 80% menjelang 2070, mengatasi jumlah penganut Kristian

Muslim dijangka mengatasi jumlah penganut Kristian di seluruh dunia menjelang 2035, menurut unjuran baharu daripada Pew Research Center mengenai masa depan agama-agama di dunia, lapor berita Anadolu.

Laporan itu, yang meneliti pertumbuhan populasi dalam kalangan tujuh kumpulan agama antara tahun 2020 dan 2070, mendapati kedua-dua agama ini sedang berkembang, namun populasi Muslim berkembang dengan lebih pantas.

Sekiranya trend semasa berterusan, akan terdapat lebih daripada 3.6 bilion Muslim dan hampir 3 bilion penganut Kristian di seluruh dunia menjelang tahun 2070, kata laporan itu.

Populasi dunia diunjurkan meningkat sebanyak 29% dalam tempoh itu. Muslim dan Kristian hanya kumpulan yang dijangka mencatatkan pertumbuhan ketara, dengan populasi Kristian meningkat sebanyak 30% manakala populasi Muslim meningkat sebanyak 80%.

Muslim akan merangkumi 36% daripada populasi global pada 2070, meningkat daripada 26% pada 2020. Sementara itu, peratusan penganut Kristian dijangka kekal stabil pada kadar 29%, menurut laporan itu.

Pew mengaitkan perubahan ini sebahagian besarnya dengan faktor demografi. Dari tahun 2020 hingga 2025, kadar kesuburan keseluruhan bagi Muslim ialah 3.1 anak bagi setiap wanita, berbanding 2.0 bagi bukan Muslim. Pada tahun 2020, usia median bagi Muslim ialah 24 tahun, hampir sedekad lebih muda berbanding usia median 33 tahun yang dicatatkan bagi bukan Muslim.

Sebahagian besar pertumbuhan populasi dunia pada abad ini dijangka berlaku di rantau Afrika sub-Sahara, yang mana majoriti penduduknya merupakan penganut Kristian atau Muslim.

Menjelang tahun 2070, Pakistan diunjurkan mempunyai populasi Muslim terbesar, diikuti oleh India, Nigeria dan Indonesia. Republik Demokratik Congo pula dijangka mengatasi Amerika Syarikat sebagai negara dengan jumlah penganut Kristian paling ramai.

Amerika Syarikat, Kanada dan Jerman adalah antara negara yang diunjurkan tidak lagi mempunyai majoriti penduduk beragama Kristian menjelang tahun 2070.

Bilangan penganut Hindu dan Yahudi diunjurkan meningkat, namun bahagian mereka dalam populasi global dijangka menurun. Bagi penganut Buddha pula, jumlah dan peratusan mereka dalam populasi global dijangka berkurangan.
Laporan itu mengatakan bahawa unjuran itu mengandaikan kadar peralihan agama dan migrasi yang berlaku baru-baru ini akan berterusan. Pew menyatakan bahawa modelnya mungkin bersifat konservatif dari segi pertumbuhan dalam kalangan mereka yang tidak menganut sebarang agama, memandangkan kumpulan berkenaan berkembang lebih pantas daripada yang dijangkakan antara tahun 2010 dan 2020.