Vakum

  • 6 dilapor maut, 13 cedera dalam serangan Ukraine

    Enam orang terbunuh dan 13 lagi cedera dalam serangan Ukraine ke atas wilayah Belgorod, Kursk dan Nizhny Novgorod di barat Rusia dalam tempoh 24 jam, menurut pihak berkuasa wilayah pada awal Jumaat, lapor berita Xinhua.

    Di wilayah Belgorod, empat orang terbunuh dan 13 cedera, Xinhua memetik pejabat lapangan wilayah berkenaan.

    Di wilayah Kursk, seorang lelaki terbunuh di sebuah kampung dalam daerah Belovsky, kata gabenor wilayah, Alexander Khinshtein, lapor Xinhua.

    Gabenor wilayah Nizhny Novgorod, Gleb Nikitin, dilapor berkata seorang anggota tentera terbunuh ketika mematahkan serangan dron pada waktu malam.

    Menurut Xinhua, Kementerian Pertahanan Rusia memaklumkan pada awal Jumaat, pihaknya telah memintas 505 dron di pelbagai wilayah sepanjang malam.

    Sementara itu, sebahagian infrastruktur di pusat data Yandex milik Rusia di Kaluga, barat daya Moscow, mengalami kerosakan akibat serangan dron, dengan beberapa modul tidak dapat berfungsi sepenuhnya, menurut Xinhua memetik agensi berita TASS pada Jumaat, memetik maklumat daripada syarikat itu.

  • Sekurang-kurangnya 183 orang dimasukkan ke hospital akibat keracunan makanan di Madagascar

    Sekurang-kurangnya 183 orang mengalami keracunan makanan di sebuah syarikat di Antananarivo, ibu negara Madagascar, dengan tiada kematian dilaporkan setakat ini, menurut kenyataan seorang pegawai kanan Madagascar pada petang Khamis, lapor berita Xinhua.

    Menteri Komunikasi dan Kebudayaan Madagascar, Ogascar Fenosoa Mandrindrarivony, dilapor menyampaikan kenyataan itu kepada pihak media semasa lawatannya kepada mangsa yang dimasukkan ke hospital susulan kejadian itu.

    Semua mangsa dilaporkan pekerja syarikat terbabit. Berdasarkan hipotesis awal menteri itu, mereka mungkin telah menjamah hidangan disediakan di kantin syarikat, yang disyaki menjadi punca keracunan makanan.

  • 5 maut, 1 cedera dalam serangan ke atas bot nelayan di luar pantai selatan Ecuador

    Lima anggota kru maut dan seorang lagi cedera apabila sekumpulan lelaki bersenjata menyerang sebuah bot nelayan di luar pantai selatan Ecuador pada awal Khamis, menurut berita Xinhua memetik media tempatan yang memetik sumber polis.

    Serangan itu dilapor berlaku sekitar jam 2 pagi waktu tempatan dekat Puerto Bolivar di wilayah El Oro.

    Bot terbabit berlepas dari Posorja, sebuah komuniti pesisir pantai di kawasan Guayaquil.

    Menurut laporan awal, lelaki-lelaki bersenjata yang menaiki beberapa bot kecil memintas vesel itu ketika anggota kru sedang berehat. Penyerang kemudian menaiki bot nelayan terbabit dan melepaskan tembakan.

    Bot itu kembali ke Posorja selepas tembakan, di mana pegawai forensik menemukan mayat mangsa.

  • Sekurang-kurangnya 10 maut dalam nahas teksi minibus di KwaZulu-Natal, Afrika Selatan

    Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh pada petang Rabu apabila sebuah teksi minibus hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok di Hammarsdale, wilayah KwaZulu-Natal, menurut berita Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan mengesahkan.

    Siboniso Duma, Ahli Majlis Eksekutif (MEC) bagi Pengangkutan dan Penempatan Manusia di KwaZulu-Natal, melaporkan pemandu hilang kawalan ketika melalui selekoh, menyebabkan kenderaan itu terkeluar dari jalan raya dan melanggar sebatang pokok.

    Menurut Xinhua, memetik statistik jalan raya kebangsaan, kecuaian manusia menyumbang kepada hampir 90% kemalangan maut di jalan raya Afrika Selatan, dengan KwaZulu-Natal secara konsisten mencatatkan antara kadar kematian trafik tertinggi di negara itu.

  • 3 maut dalam serangan lapangan terbang Arab Saudi ketika Houthi perhebatkan serangan rentas sempadan

    Tiga orang terbunuh dan 36 lagi cedera dalam serangan berasingan ke atas dua lapangan terbang di Arab Saudi, menurut pihak berkuasa Saudi pada Rabu, ketika kumpulan Houthi Yaman mendakwa melancarkan gelombang baharu serangan peluru berpandu dan dron terhadap lapangan terbang serta lokasi ketenteraan di seluruh negara itu, lapor berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, pihak berkuasa penerbangan awam Arab Saudi berkata serangan itu menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Abha di barat daya Arab Saudi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di ibu kota Riyadh pada Selasa dan Rabu.

  • Houthi Yaman dakwa gelombang baru serangan ke Arab Saudi

    Kumpulan Houthi Yaman pada Rabu berkata ia telah melancarkan gelombang serangan baharu menggunakan peluru berpandu balistik dan dron yang menyasarkan lapangan terbang serta kemudahan ketenteraan di Arab Saudi, menurut berita Xinhua.

    Jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea, dilapor berkata beberapa dron menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, sambil mendakwa serangan itu mengganggu lalu lintas udara.

    Dia juga berkata, peluru berpandu balistik dan dron menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Abha dan Pangkalan Udara King Khalid dekat Khamis Mushait di wilayah Asir, serta tiga kem tentera di wilayah Jazan dan Asir bersempadan dengan Yaman.

    Sarea mendakwa serangan itu menyebabkan kerosakan, mengganggu lalu lintas udara serta mengakibatkan berpuluh-puluh orang terbunuh atau cedera, menurut Xinhua, namun dakwaan itu tidak dapat disahkan secara bebas.

    Menurut Xinhua, gabungan pimpinan Arab Saudi berkata sistem pertahanan udaranya telah memintas dan memusnahkan peluru berpandu balistik Houthi di utara Riyadh.

    Dalam perkembangan berasingan, Sarea berkata, pasukan Houthi telah menembak jatuh sebuah dron peninjau bersenjata CH-4 milik Arab Saudi di wilayah utara Yaman, Al-Jawf; satu dakwaan yang juga tidak dapat disahkan secara bebas, lapor Xinhua.

  • Rusia serang pusat data Ukraine

    Pasukan tentera Rusia menyerang pusat data Parkovyi, Ukrtelecom, Giga dan Podolskyi di Ukraine bagi mengurangkan keupayaan komunikasi negara itu serta mengganggu logistik ketenteraan dan kawalan pasukan tentera, menurut Kementerian Pertahanan Rusia pada Selasa, lapor berita Xinhua.

    Kementerian itu dilapor berkata pasukan Rusia turut menyerang beberapa sasaran di wilayah Odesa, termasuk sebuah depot peluru berpandu dan artileri, sebuah kapal kargo kering yang membawa bekalan ketenteraan, serta kemudahan infrastruktur pelabuhan yang digunakan untuk memunggah dan menyimpan kargo ketenteraan.

    Pada awal pagi Selasa, Datuk Bandar Moscow, Sergey Sobyanin dilapor berkata 650 dron dipintas ketika dalam perjalanan menuju ke ibu negara Rusia itu semalaman.

    Xinhua memetik agensi berita TASS, serangan itu merupakan satu daripada serangan dron terbesar oleh Ukraine ke atas kawasan Moscow dalam tempoh hampir dua tahun.

    Gabenor Wilayah Moscow, Andrei Vorobyov, dilapor berkata dua orang terbunuh dan beberapa yang lain cedera di wilayah berkenaan.

  • Sembilan maut dalam perlanggaran bas dan trak di Nigeria

    Sembilan orang terbunuh selepas sebuah bas penumpang dan sebuah trak berlanggar di lebuh raya yang sibuk di negeri Ogun, barat daya Nigeria, menurut seorang pegawai keselamatan jalan raya pada Selasa, lapor berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, Afolabi Odunsi, jurucakap Kor Keselamatan Jalan Raya Persekutuan di Negeri Ogun, dalam satu kenyataan berkata, bas yang dipandu laju itu hilang kawalan di jalan yang licin lalu bertembung secara berdepan dengan trak terbabit pada petang Isnin.

    Memetik siasatan awal, Odunsi mengaitkan kemalangan itu, yang berlaku ketika hujan, dengan “memandu laju”.

  • Nigeria isytihar berkabung tiga hari bagi 32 anggota tentera yang terkorban dalam nahas pesawat

    Nigeria mengisytiharkan berkabung kebangsaan tiga hari bermula Selasa bagi 32 anggota tentera udara yang terkorban apabila sebuah pesawat tentera terhempas di negeri Ondo, barat daya negara itu, pada Isnin, menurut berita Xinhua.

    Presiden Nigeria, Bola Tinubu, semasa mengumumkan tempoh berkabung itu lewat Isnin, turut mengarahkan bendera kebangsaan dikibarkan separuh tiang di seluruh negara bagi memberi penghormatan kepada mangsa, membabitkan 25 penumpang dan tujuh anggota kru.

    “Ini merupakan saat yang menyedihkan bagi angkatan tentera kita dan seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan, sambil mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan terhadap insiden itu, lapor Xinhua.

    Tentera udara Nigeria sebelum ini mengesahkan pesawat turboprop dua enjin ATR-42, dengan nombor ekor NGR 931, sedang dalam misi rutin dari Benin City di selatan Nigeria ke Lagos.

    Pesawat itu terhempas dekat Pangkalan Tentera Laut di Igbokoda, sebuah komuniti kawasan sungai di negeri Ondo, menurut Festus Keyamo, menteri penerbangan dan pembangunan aeroangkasa, lapor Xinhua.

    Menurut Xinhua, menteri itu berkata pesawat terbabit terputus hubungan dengan pengawal trafik udara sebelum nahas berlaku, dan segala usaha untuk mewujudkan semula hubungan radio tidak berjaya.

    Pada 26 September 1992, lebih 150 anggota tentera terkorban apabila pesawat tentera udara Nigeria terhempas ke dalam terusan di kawasan kejiranan Lagos sejurus selepas berlepas.

    Mangsa kebanyakannya terdiri daripada pegawai berpangkat pertengahan yang sedang mengikuti kursus di negeri Kaduna, barat laut negara itu.

  • 5 terbunuh dalam serangan berasingan di barat laut Pakistan

    Lima pegawai kerajaan terbunuh dalam dua serangan berasingan di daerah Dera Ismail Khan, barat laut Pakistan pada Selasa, menurut berita Xinhua memetik polis dan pegawai.

    Empat pegawai lembaga hasil persekutuan terbunuh apabila penyerang tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah mereka dekat Qureshi Mor, manakala seorang polis trafik lebuh raya terbunuh dan seorang lagi cedera dalam serangan berasingan dekat jalan pintas Mufti Mahmood Chowk, lapor Xinhua memetik polis.

    Penyerang melarikan diri selepas serangan itu dan polis melancarkan operasi mencari di kawasan berkenaan, pegawai dilapor berkata.