Enam orang cedera pada Jumaat dalam serangan Israel di timur Lubnan, menurut kenyataan Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Awam di Kementerian Kesihatan Awam, lapor Xinhua.
Sebuah dron Israel menyasarkan Hosh al-Sayyid Ali di daerah Hermel, menyebabkan enam orang cedera, membabitkan lima warga Syria dan seorang warga Lubnan, Xinhua memetik Agensi Berita Nasional Lubnan.
Perkembangan ini berlaku di tengah-tengah ketegangan yang berterusan di sepanjang sempadan Lubnan-Israel, walaupun satu perjanjian rangka kerja telah ditandatangani antara Lubnan dan Israel pada akhir Jun.
Sementara itu, Pasukan Pertahanan Israel berkata dalam satu kenyataan bahawa pihaknya telah menyerang seorang militan Syria dekat sempadan Syria-Lubnan pada Jumaat, lapor Xinhua.
Kenyataan itu tidak menyatakan sama ada militan terbabit, yang dikenal pasti sebagai Yusuf Ali Al-Hassoun, cedera dalam serangan itu.
Tentera Israel mendakwa individu terbabit telah merancang dan melancarkan serangan terhadap orang awam Israel dan askar Israel yang beroperasi di selatan Syria.