6 dilapor maut, 13 cedera dalam serangan Ukraine

Enam orang terbunuh dan 13 lagi cedera dalam serangan Ukraine ke atas wilayah Belgorod, Kursk dan Nizhny Novgorod di barat Rusia dalam tempoh 24 jam, menurut pihak berkuasa wilayah pada awal Jumaat, lapor berita Xinhua.

Di wilayah Belgorod, empat orang terbunuh dan 13 cedera, Xinhua memetik pejabat lapangan wilayah berkenaan.

Di wilayah Kursk, seorang lelaki terbunuh di sebuah kampung dalam daerah Belovsky, kata gabenor wilayah, Alexander Khinshtein, lapor Xinhua.

Gabenor wilayah Nizhny Novgorod, Gleb Nikitin, dilapor berkata seorang anggota tentera terbunuh ketika mematahkan serangan dron pada waktu malam.

Menurut Xinhua, Kementerian Pertahanan Rusia memaklumkan pada awal Jumaat, pihaknya telah memintas 505 dron di pelbagai wilayah sepanjang malam.

Sementara itu, sebahagian infrastruktur di pusat data Yandex milik Rusia di Kaluga, barat daya Moscow, mengalami kerosakan akibat serangan dron, dengan beberapa modul tidak dapat berfungsi sepenuhnya, menurut Xinhua memetik agensi berita TASS pada Jumaat, memetik maklumat daripada syarikat itu.