Sekurang-kurangnya 28 orang maut dalam perlanggaran berdepan antara sebuah bas penumpang dan sebuah trak di wilayah Morogoro, timur Tanzania, menurut perkhidmatan bomba dan penyelamat wilayah itu pada Jumaat, lapor Xinhua.
Joseph Mwasabeja, pemangku komander Pasukan Bomba dan Penyelamat Wilayah Morogoro, dilapor berkata kemalangan itu berlaku pada malam Khamis di Mkambarani, di lebuh raya Morogoro-Dar es Salaam.
Dia berkata, trak yang membawa muatan kayu itu berlanggar dengan bas penumpang yang dalam perjalanan dari Dar es Salaam ke Mbeya di kawasan tanah tinggi selatan Tanzania.
Bas itu terbakar selepas perlanggaran dan musnah sepenuhnya.
Dia mengaitkan punca kemalangan itu dengan pemandu trak yang identitinya belum dikenal pasti, dengan menyatakan pemandu terbabit dalam perjalanan dari Iringa ke Dar es Salaam dan cuba memotong kenderaan lain tanpa mengambil langkah berjaga-jaga sewajarnya, mengakibatkan pelanggaran secara berdepan.

