Tuala

  • Houthi dakwa serangan peluru berpandu ke atas lapangan terbang Abha, Arab Saudi

    Kumpulan Houthi Yaman pada Selasa berkata mereka melancarkan serangan baharu peluru berpandu balistik ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Abha di wilayah Asir, barat daya Arab Saudi, sambil mendakwa serangan itu mengganggu lalu lintas udara, menurut berita Xinhua.

    Menurut laporan itu, jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea, dalam satu kenyataan di X, mendakwa peluru berpandu itu melanda lapangan terbang terbabit secara tepat dan langsung.

    Tiada pengesahan segera daripada pihak berkuasa Arab Saudi mengenai serangan itu, menurut Xinhua.

    Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi memaklumkan pada Selasa bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdullah bin Abdulaziz di wilayah Jazan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Najran telah disasarkan dalam serangan berasingan pada petang Isnin, menyebabkan tiga orang mengalami kecederaan ringan, lapor Xinhua.

    Menurut Xinhua, Sarea dalam kenyataan berasingan pada Selasa berkata, pasukan Houthi telah melancarkan beberapa peluru berpandu balistik ke arah tumpuan tentera Arab Saudi di kem tentera Al-Daghareer di Jazan, dekat sempadan Yaman, mendakwa peluru berpandu itu menghentam sasaran.

  • 7 maut dalam insiden perlombongan haram di barat daya China

    Tujuh orang maut akibat lemas selepas air hujan melimpah masuk ke dalam lubang lombong tempat mereka menjalankan aktiviti perlombongan haram di Perbandaran Chongqing, barat daya China, lapor berita Xinhua memetik polis tempatan pada Isnin.

    Menurut laporan itu, polis di kawasan Autonomi Youyang Tujia dan Miao berkata mangsa ditemui di sebuah lombong terbiar yang telah ditutup, terletak dekat sempadan di antara Youyang serta Xiushan Tujia dan Miao.

    Pihak polis turut menahan 21 individu yang disyaki terbabit dalam perlombongan haram ketika operasi mencari dan menyelamat susulan laporan mengenai kehilangan beberapa individu di lombong itu pada Sabtu.

  • Houthi beri amaran kepada syarikat penerbangan antarabangsa supaya tidak beroperasi di ruang udara Arab Saudi

    Kumpulan Houthi Yaman pada Isnin memberi amaran kepada syarikat penerbangan antarabangsa supaya tidak beroperasi di ruang udara Arab Saudi, mengatakan ruang udara kerajaan itu mungkin menjadi “medan operasi” di tengah-tengah peningkatan konfrontasi ketenteraan antara kedua-dua pihak, menurut berita Xinhua.

    Dalam kenyataan yang disiarkan oleh saluran televisyen kumpulan itu, Al-Masirah, Pusat Koordinasi Operasi Kemanusiaan kendalian Houthi berkata notis itu ditujukan kepada semua syarikat penerbangan yang beroperasi di ruang udara Arab Saudi, bertujuan untuk menjamin keselamatan penerbangan awam dan penumpang.

    Ia mendakwa pesawat tentera Arab Saudi sedang melancarkan serangan terhadap kawasan dikuasai Houthi di Yaman, dan oleh itu, ruang udara Arab Saudi harus dianggap tidak selamat untuk penerbangan awam.

    Kenyataan itu tidak menyatakan secara khusus bila atau di mana kemungkinan operasi Houthi akan berlaku, mahupun mengenal pasti lapangan terbang atau koridor udara tertentu yang mungkin terjejas, lapor Xinhua.

  • 2 anggota polis dilapor terbunuh, 1 cedera dalam serangan “pengganas” di tenggara Iran

    Dua anggota polis terbunuh dan seorang lagi cedera pada Isnin dalam serangan tembakan oleh “pengganas” bersenjata di wilayah Sistan dan Baluchestan, tenggara Iran, menurut berita Xinhua memetik laporan agensi berita rasmi IRNA.

    Anggota polis terbabit sedang melakukan rondaan di jalan raya antara daerah Bampur dan Iranshahr apabila serangan itu berlaku, menurut berita Xinhua memetik IRNA, memetik kenyataan dikeluarkan oleh pusat arahan polis wilayah.

    Sistan dan Baluchestan, yang bersempadan dengan Pakistan dan Afghanistan, sering menyaksikan pertempuran membabitkan pasukan keselamatan Iran, militan, dan penyeludup dadah, dengan orang awam serta anggota keselamatan menjadi sasaran serangan pengganas.

  • 1 rakyat Palestin maut, 2 cedera akibat tembakan tentera Israel di Tebing Barat

    Seorang rakyat Palestin terbunuh dan dua lagi cedera pada Isnin akibat tembakan tentera Israel selepas kenderaan mereka ditembak dekat pintu masuk pekan Bani Naim, di selatan Hebron, Tebing Barat, menurut berita Xinhua memetik sumber Palestin.

    Pihak Berkuasa Umum Hal Ehwal Awam Palestin dilaporkan berkata dalam kenyataan ringkas bahawa mereka yang cedera dipindahkan ke hospital di dalam Israel untuk rawatan. Identiti mangsa yang terbunuh dan cedera masih belum diketahui.

    Menurut Xinhua, terdahulu, tentera Israel berkata dalam kenyataan bahawa “susulan laporan yang diterima mengenai cubaan serangan rempuh di kawasan Bani Naim, askar IDF (Pasukan Pertahanan Israel) yang bertugas di kawasan itu mengesan sebuah kenderaan membawa tiga suspek yang dipandu dalam keadaan mencurigakan. Kenderaan itu kemudian memecut ke arah kenderaan IDF dan melanggarnya.”

    Askar dilapor bertindak balas dengan melepaskan tembakan ke arah kenderaan terbabit.

  • Dua maut dalam kejadian tembakan di pesta kejiranan di AS

    Dua orang maut dan 35 lagi cedera dalam satu kejadian tembakan di pesta kejiranan di negeri Georgia, Amerika Syarikat (AS), pada awal pagi Ahad, lapor Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan.

    Kejadian tembakan itu berlaku sekitar jam 1:25 pagi (0525 GMT) di bandar Vienna, selatan Georgia, Biro Penyiasatan Negeri berkata dalam satu kenyataan, menurut Xinhua.

    Dua lelaki, masing-masing berusia 21 dan 23 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, kata Syerif Daerah Craig Peavy, sambil menambah bahawa mereka yang cedera telah dikejarkan ke hospital di kawasan sekitar.

    Lebih 1,000 orang telah berkumpul untuk pesta itu apabila sekurang-kurangnya 50 das tembakan dilepaskan, kata Peavy, sambil menyatakan kebanyakan mangsa cedera akibat tembakan, manakala yang lain pula dilanggar kenderaan ketika orang ramai cuba melarikan diri dari lokasi kejadian.

    Pihak berkuasa masih belum mengenal pasti mana-mana suspek atau menentukan motif tembakan itu.

  • Afghanistan rasmi jalan Koridor Wakhan menghubungkan negara itu dengan China

    Afghanistan pada Ahad secara rasmi membuka jalan yang menghubungkan negara itu dengan China melalui Koridor Wakhan di wilayah timur laut Badakhshan, lapor berita Anadolu.

    Menurut Anadolu, yang memetik Tolo News, pembinaan jalan tanpa turapan sepanjang 121 kilometer (75 batu) itu bermula dua tahun lalu. Jalan itu menghubungkan Afghanistan dengan wilayah Xinjiang di China.

    Koridor Wakhan merupakan jalur sempit wilayah Afghanistan di wilayah Badakhshan yang memisahkan Tajikistan dari wilayah Gilgit-Baltistan di Pakistan.

    Kos pembinaan jalan itu adalah sebanyak 365 juta afghani (AS$5.5 juta).

    Berucap pada majlis perasmian itu, Menteri Pemulihan dan Pembangunan Luar Bandar, Abdul Latif Mansour, berkata jalan itu mempunyai kepentingan strategik, politik, dan ekonomi bagi Afghanistan.

    Kabul telah “mengutamakan projek awam seumpama itu, terutama di wilayah-wilayah yang sangat memerlukannya. Tiada jurutera atau penasihat asing; semua jurutera adalah rakyat Afghanistan,” katanya, seperti dilaporkan.

  • Dua maut, seorang parah tembakan di Norway

    Dua orang maut dan seorang lagi cedera parah dalam satu kejadian tembakan di Halden, tenggara Norway, pada pagi Ahad, menurut polis tempatan, lapor berita Xinhua.

    Tembakan itu berlaku sekitar jam 7:30 pagi (0530 GMT) di kawasan berhutan di sebelah timur Halden. Ketiga-tiga mangsa merupakan anggota kumpulan pemburu yang sama, kata komander insiden polis, Wilhelm Bjolseth, lapor Xinhua memetik agensi berita Norway, NTB.

    Seorang suspek lelaki telah ditahan oleh saksi dan diserahkan kepada polis sebaik sahaja pegawai tiba di lokasi. Polis menyatakan bahawa maklumat awal menunjukkan suspek bukan ahli daripada kumpulan pemburu terbabit dan tiada pelaku lain disyaki terbabit.

  • 2 maut, 1 hilang selepas hujan lebat landa Catalonia, Sepanyol

    Dua orang maut dan seorang lagi hilang selepas hujan lebat serta banjir melanda wilayah Catalonia di timur laut Sepanyol, menurut berita Xinhua memetik pihak berkuasa pada Ahad.

    Di Tordera, kawasan Costa Brava, seorang lelaki maut selepas dihempap ​​tembok yang runtuh ketika mengeluarkan air dari rumah banglonya di tapak perkhemahan, kata Salvador Illa, presiden Generalitat (kerajaan wilayah Catalonia).

    “Malangnya, kami terpaksa melaporkan satu kematian di Tordera,” kata Illa, sambil menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan mematuhi arahan rasmi memandangkan keadaan cuaca buruk masih berterusan, lapor Xinhua.

    Seorang lagi individu meninggal dunia di Montornes del Valles, manakala pasukan kecemasan sedang mencari seorang individu yang dilaporkan hilang di Pineda de Mar, kira-kira 52 km di utara Barcelona, ​​menurut pihak bomba, lapor Xinhua.

    Pihak berkuasa Catalonia mengeluarkan amaran cuaca tahap merah dan menggesa orang ramai supaya kekal berada di dalam rumah dari petang Sabtu hingga petang Ahad, susulan ramalan hujan lebat.

  • Kematian 7 pelombong di Filipina mungkin akibat keracunan gas

    Kematian sekurang-kurangnya tujuh pelombong di Filipina awal minggu ini berkemungkinan berpunca daripada keracunan gas, menurut kenyataan polis pada Jumaat, sementara siasatan terhadap insiden maut itu masih dijalankan, lapor berita Anadolu.

    Memetik laporan akhbar harian Manila Times, Anadolu melaporkan, semua pelombong terbabit meninggal dunia pada malam Rabu di dalam sebuah terowong perlombongan kecil di Benguet, yang terletak di pulau Luzon di bahagian utara.

    Mayat mangsa, yang dilaporkan berusia antara 18 hingga 62 tahun, telah ditemui pada Khamis kira-kira 20 meter (66 kaki) dari pintu masuk terowong terbabit.

    Pihak polis tidak menyatakan jenis gas yang terbabit dan memaklumkan punca gas itu masih belum dikenal pasti.

    Menurut Anadolu, laporan itu turut menyebut ahli keluarga mangsa percaya kematian berlaku akibat kemalangan.