Kematian sekurang-kurangnya tujuh pelombong di Filipina awal minggu ini berkemungkinan berpunca daripada keracunan gas, menurut kenyataan polis pada Jumaat, sementara siasatan terhadap insiden maut itu masih dijalankan, lapor berita Anadolu.
Memetik laporan akhbar harian Manila Times, Anadolu melaporkan, semua pelombong terbabit meninggal dunia pada malam Rabu di dalam sebuah terowong perlombongan kecil di Benguet, yang terletak di pulau Luzon di bahagian utara.
Mayat mangsa, yang dilaporkan berusia antara 18 hingga 62 tahun, telah ditemui pada Khamis kira-kira 20 meter (66 kaki) dari pintu masuk terowong terbabit.
Pihak polis tidak menyatakan jenis gas yang terbabit dan memaklumkan punca gas itu masih belum dikenal pasti.
Menurut Anadolu, laporan itu turut menyebut ahli keluarga mangsa percaya kematian berlaku akibat kemalangan.

