Mesin Basuh

  • Angka maut akibat Taufan Dujuan di timur Jepun meningkat kepada 9

    Angka kematian akibat Taufan Dujuan, yang melanda timur Jepun awal minggu ini, meningkat kepada sembilan orang pada Rabu, menurut berita Anadolu memetik media tempatan.

    Pihak berkuasa menemui mayat seorang wanita di prefektur Kanagawa dan seorang lelaki di dalam kenderaan yang tenggelam di prefektur Chiba, timur Tokyo, lapor Anadolu memetik Agensi Berita Kyodo yang memetik pihak berkuasa tempatan.

    Operasi mencari empat orang yang masih hilang diteruskan.

    Daripada sembilan mangsa terbabit, enam orang meninggal dunia di Chiba dan tiga orang di Kanagawa.

    Taufan itu menyebabkan kerosakan teruk terutama di Chiba, selepas kawasan itu juga dilanda hujan lebat dan banjir pada Ogos dan awal September.

  • Majlis Keselamatan PBB kutuk serangan bom berani mati bawa maut di sebuah masjid di Pakistan

    Majlis Keselamatan PBB pada Selasa mengutuk serangan bom berani mati di sebuah masjid di barat laut Pakistan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 24 orang dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain, lapor Anadolu.

    “Anggota Majlis Keselamatan mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas bom berani mati yang kejam dan pengecut di sebuah masjid di Kohat, Wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan,” kata Presiden Majlis, Jerome Bonnafont dari Perancis, dalam satu kenyataan, menurut Anadolu.

    Serangan pada 18 September itu mengorbankan sekurang-kurangnya 24 rakyat Pakistan, membabitkan tujuh orang awam dan 17 anggota penguat kuasa undang-undang, serta mencederakan sekurang-kurangnya 88 yang lain.

    Satu rangkaian bersenjata yang bersekutu dengan kumpulan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) mengaku bertanggungjawab atas pengeboman itu, menurut Anadolu.

  • Angka maut akibat kapal karam di Indonesia meningkat kepada 28 orang, 107 masih hilang

    Angka kematian akibat Virgo Transport 8 yang karam di Laut Jawa, luar pantai Kalimantan Selatan, meningkat kepada 28 orang pada Rabu, dengan 107 orang masih hilang, menurut berita Xinhua memetik Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia.

    Vesel penumpang itu berlepas dari Surabaya, Jawa Timur pada 12 September menuju ke Banjarmasin, Kalimantan Selatan. Ia menghadapi cuaca buruk semasa pelayaran dan terputus hubungan sekitar jam 2 pagi waktu tempatan pada 13 September.

    “Sejumlah 136 mangsa telah ditemui, termasuk 108 yang terselamat dan 28 yang meninggal dunia. Seramai 107 orang lagi masih dalam usaha pencarian,” kata ketua Basarnas, Mohammad Syafii, semasa memberikan perkembangan terkini mengenai operasi mencari dan menyelamat, lapor Xinhua.

  • Beberapa rakyat Palestin maut akibat serangan Israel di Gaza

    Dua rakyat Palestin terbunuh pada Rabu apabila serangan udara Israel menyasarkan sebuah kenderaan awam di kawasan al-Mawasi, Khan Younis di selatan Gaza, menurut berita Xinhua memetik Pertahanan Awam Gaza dan penduduk tempatan.

    Menurut Xinhua, Mahmoud Basal, jurucakap Pertahanan Awam Gaza, memberitahunya bahawa sebuah pesawat Israel menyasarkan kenderaan awam itu ketika ia bergerak di kawasan al-Mawasi, membunuh dua rakyat Palestin dan mencederakan beberapa orang lain.

    Penduduk tempatan dilapor berkata, serangan Israel itu melanda sebuah kenderaan awam di kawasan terbabit, sambil menambah bahawa serangan itu mengakibatkan korban mereka yang berada di dalam kenderaan itu.

    Menurut Xinhua, juga pada Rabu, pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata dalam satu kenyataan akhbar bahawa tentera Israel telah membunuh Mohammed Abu Alwan, ketua jabatan kewangan Hamas, dalam satu serangan di selatan Jalur Gaza.

    Dalam perkembangan berasingan, Basal dilapor berkata, seorang wanita Palestin meninggal dunia akibat kecederaan parah daripada tembakan tentera Israel di kem pelarian Bureij di tengah Gaza.

    Seorang pemuda Palestin juga meninggal dunia akibat kecederaan dialami dalam serangan Israel terhadap sekumpulan rakyat Palestin di Jalan al-Nasr, Bandar Gaza pada malam Selasa, lapor Xinhua memetik Basal.

  • Sekurang-kurangnya 17 terbunuh dalam serangan udara Arab Saudi di seluruh Yaman

    Kumpulan Houthi Yaman berkata pada Selasa bahawa pesawat perang Arab Saudi melancarkan 19 serangan udara di tiga wilayah Yaman dalam tempoh 24 jam lalu, manakala media kendalian Houthi melaporkan sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan 11 cedera dalam serangan terbaharu itu, menurut berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea, berkata dalam satu kenyataan di X bahawa serangan terbabit menyasarkan wilayah barat daya Taiz, wilayah utara Al-Jawf, dan wilayah timur laut Marib yang kaya dengan sumber minyak.

    Sarea berkata pesawat pejuang F-15 dan Typhoon milik Arab Saudi yang beroperasi dari pangkalan udara di Khamis Mushait dan Taif telah melancarkan serangan terbabit, mengakibatkan kematian dan kecederaan.

    Dia menambah bahawa serangan terbaharu itu menjadikan jumlah serangan udara dan peluru berpandu Arab Saudi yang dilaporkan oleh Houthi sejak peningkatan ketegangan semasa bermula mencecah 936, sambil memberi amaran bahawa Arab Saudi akan berdepan dengan akibat yang “buruk”.

    Bagaimanapun Xinhua melaporkan, angka-angka terbabit tidak dapat disahkan secara bebas.

    Menurut Xinhua, dalam perkembangan berasingan, media kendalian Houthi dan para pegawai berkata serangan dari malam Isnin hingga Selasa telah mengorbankan sekurang-kurangnya 17 orang dan mencederakan 11 yang lain.

    Abdul Qader al-Murtada, ketua jawatankuasa hal ehwal tahanan Houthi, dilapor berkata dalam satu kenyataan di X bahawa sembilan tahanan terbunuh apabila serangan udara Arab Saudi melanda sebuah penjara di Al-Hazm, ibu kota wilayah Al-Jawf, pada malam Isnin.

    Dalam satu lagi kejadian di Al-Jawf, saluran TV al-Masirah kendalian Houthi melaporkan bahawa seorang wanita dan anaknya terbunuh dalam serangan udara Arab Saudi, manakala suami serta dua lagi ahli keluarga wanita itu cedera.

    Menurut Xinhua, terdahulu pada Selasa, al-Masirah melaporkan tiga serangan udara Arab Saudi melanda sebuah rumah kediaman di bandar pelabuhan strategik Laut Merah, Mocha di Taiz, mengorbankan enam orang termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita, serta mencederakan lapan yang lain.

  • Penyanyi Brazil dan 4 yang lain maut dalam nahas helikopter

    Lima orang, termasuk penyanyi Brazil Rick Sollo daripada duo muzik sertanejo Rick & Renner, ditemui mati pada Selasa selepas helikopter mereka terhempas di kawasan pergunungan negeri Santa Catarina di selatan Brazil, menurut berita Xinhua memetik pihak bomba.

    Helikopter itu dilaporkan hilang pada Isnin selepas berlepas dari Porto Belo di pantai utara negeri itu menuju ke Sao Joaquim, di mana cuaca buruk dan ribut petir diramalkan.

    Turut berada di dalam helikopter itu ialah ahli perniagaan Bruno Avelar, jurukamera Paulo Soares, serta juruterbang dan pembantu juruterbang.

    Serpihan helikopter ditemui pada Selasa semasa operasi mencari membabitkan kira-kira 40 anggota bomba, lebih 10 kenderaan dan dron, dua anjing pengesan, serta sebuah pesawat, di tengah-tengah keadaan berkabus.

    Menurut Xinhua, agensi penerbangan awam Brazil berkata pesawat itu, model Bell 430 keluaran tahun 2001, mempunyai kebenaran untuk beroperasi.

    Rick & Renner merupakan salah satu duo muzik sertanejo paling terkenal di Brazil dengan kerjaya yang bermula sejak 1980-an.

  • Sekurang-kurangnya 4 maut akibat ribut di selatan Brazil

    Sekurang-kurangnya empat orang terkorban dan beberapa yang lain masih hilang selepas ribut kuat melanda negeri Rio Grande do Sul di selatan Brazil, menurut berita Xinhua memetik kenyataan pihak pertahanan awam pada Selasa.

    Ribut itu menyebabkan gangguan bekalan elektrik kepada lebih 700,000 penduduk, dengan kelajuan angin kencang melebihi 115 km sejam dan taburan hujan sehingga 15 cm di sesetengah kawasan. Hujan lebat, angin kencang, hujan batu, banjir dan tanah runtuh telah menjejaskan beberapa bahagian negeri itu, di mana pihak berkuasa mengekalkan amaran bagi risiko tanah runtuh dan kawasan banjir.

    Xinhua melaporkan, menurut laporan pertahanan awam, kira-kira 2,732 orang telah dipindahkan dan 146 kawasan perbandaran di Rio Grande do Sul melaporkan kejadian yang berpunca daripada ribut terbabit.

  • Houthi kata serangan udara Saudi ke atas penjara di Yaman mengorbankan sembilan tahanan

    Kumpulan Houthi Yaman pada Selasa berkata bahawa serangan udara Arab Saudi mengorbankan sembilan tahanan di sebuah penjara di bawah kawalan mereka di wilayah utara Al-Jawf, menurut berita Xinhua.

    Kumpulan itu memaklumkan bahawa serangan terbabit berlaku pada malam Isnin dan semua tahanan itu telah ditangkap dalam pertempuran baru-baru ini.

    Abdul Qader al-Murtada, ketua jawatankuasa hal ehwal tahanan Houthi, berkata di X bahawa “rejim Saudi yang zalim” itu telah menyasarkan sebuah penjara di Al-Hazm, ibu kota wilayah berkenaan, lapor Xinhua.

    Menurut Xinhua, terdahulu pada Selasa, saluran TV Al-Masirah dikendalikan oleh Houthi melaporkan pesawat perang Arab Saudi telah melancarkan tiga serangan udara ke atas sebuah rumah di bandar pelabuhan Mocha di Laut Merah, wilayah Taiz di barat daya Yaman, mengorbankan enam orang, termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita, serta mencederakan lapan yang lain.

  • Angka maut meningkat kepada 6 susulan hujan lebat akibat taufan di Jepun

    Angka kematian meningkat kepada enam orang pada Selasa, dengan enam lagi masih hilang, selepas hujan lebat akibat taufan besar melanda wilayah Kanto di timur Jepun serta mencetuskan kejadian tanah runtuh dan banjir sehari sebelumnya, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan.

    Daripada jumlah kematian itu, lima disahkan berlaku di Prefektur Chiba, di timur Tokyo, termasuk seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang maut selepas terjatuh ke dalam kawasan rumpun buluh ketika mengendalikan jentera berat untuk membersihkan lumpur dan serpihan akibat tanah runtuh. Mangsa lain pula berusia lingkungan 70-an dan 80-an, menurut Xinhua memetik Kyodo News.

    Satu lagi kematian disahkan di Yokosuka, Prefektur Kanagawa, yang juga dekat Tokyo, membabitkan seorang wanita berusia lingkungan 60-an yang meninggal dunia pada Isnin selepas rumahnya dilanda tanah runtuh yang menyebabkan lumpur membanjiri kediaman itu.

  • Dua polis terbunuh dalam serangan terhadap pasukan vaksinasi polio di barat daya Pakistan

    Dua anggota polis yang memberikan kawalan keselamatan kepada pasukan vaksinasi polio terbunuh dalam satu serangan pengganas di wilayah Balochistan, barat daya Pakistan, menurut berita Xinhua memetik kenyataan polis pada Selasa.

    Insiden itu dilaporkan berlaku di kawasan Kali Jamalabad dalam daerah Nushki, di mana penyerang menyasarkan anggota polis ditugaskan untuk melindungi pasukan vaksinasi polio terbabit.